KARIPAP PUSING

Isnin, 25 Mac 2013

Sayangi Ginjal

Masalah perlu segera dirawat

Ginjal berfungsi untuk menapis sisa daripada zat makanan dan minuman. Ia kemudiannya dikeluarkan dalam bentuk cecair melalui saluran kencing namun bagi mereka yang mengalami kegagalan organ penting itu, rutin ke tandas terpadam dalam diari harian mereka.
Malah sekiranya ada yang membuang air kecil sekalipun, jumlahnya antara satu titik hingga satu cawan kecil saja dalam tempoh sehari, menyebabkan kebergantungan terhadap dialisis umpama talian hayat demi menjaga keseimbangan cecair dalam tubuh.
Selain membuang sisa melalui air kencing, ­ginjal mempunyai fungsi lain yang amat penting dalam tubuh. Kehilangannya boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan yang kompleks hingga memberi kesan kepada organ dalaman yang lain.

Ginjal juga bertindak menyaring zat daripada proses metabolisme dalam darah, menjaga tekanan osmosis dan mengatur keseimbangan garam dalam tubuh melalui penyisihan sisa seperti urea.

MENU yang sihat penting untuk menjaga hayat ginjal
 
 Kegagalan ginjal untuk berfungsi boleh menyebab­kan pertambahan jumlah cecair dalam badan yang membuatkan tubuh dipenuhi cecair, peningkatan paras asid, paras potasium yang tinggi, pengurangan jumlah kalsium, kadar fosfat yang meningkat dan membawa kepada masalah kekurangan sel darah merah sihat dalam tubuh atau juga dikenali sebagai anemia.
Keadaan itu turut memberi kesan kepada kesihatan tulang dan masalah ginjal yang berpanjangan, menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit kardiovaskular yang boleh membawa kepada serangan jantung.


Jenis penyakit

Penyakit ginjal terbahagi kepada dua kategori iaitu akut dan kronik. Kecederaan ginjal akut berlaku apabila fungsi ginjal merosot secara pantas dan progresif, selalunya boleh dikesan melalui pengeluaran air kencing yang semakin berkurangan iaitu kira-kira 400 mililiter bagi dewasa atau 0.5 mililiter bagi kanak-kanak.

Punca masalah ginjal akut perlu dikenali dan dirawat segera bagi menghentikan proses kehilangan fungsi ginjal dan dialisis mungkin perlu dilakukan bagi merapatkan jurang masa yang diperlukan untuk merawat punca asas.

Bagi penyakit ginjal kronik (CKD) pula, ia berlaku secara perlahan dan pada mulanya menunjukkan beberapa tanda. Ia boleh berlaku akibat penyakit ginjal akut yang berpanjangan dan sudah tidak dapat dipulihkan atau sebahagian ­daripada perkembangan penyakit.

Biarpun hanya mereka yang mengalami kegagalan ginjal tahap kelima iaitu hilang fungsi sepenuhnya terpaksa bergantung kepada mesin dialisis, masalah itu sebenarnya bermula secara berperingkat dan perlu dikesan awal supaya ia tidak melarat hingga menyebabkan kematian organ berkenaan.

Seseorang dikira mengalami masalah ginjal apabila organ berkenaan tidak dapat bertugas pada tahap maksimum akibat masalah tertentu untuk menyingkirkan sisa daripada darah secukupnya.

Terdapat lima peringkat CKD dan tahap pertama boleh dikesan apabila keputusan air kencing, struktur tidak normal atau sifat genetik menunjukkan ada masalah pada ginjal, namun ia masih berfungsi secara normal.

Bagi peringkat kedua juga, fungsi ginjal masih normal tetapi ia merosot sedikit berbanding tahap pertama dan penemuan beberapa petanda yang menunjukkan ada masalah ginjal.

Peringkat ketiga pula menyaksikan fungsi ginjal semakin merosot pada kadar lebih pantas manakala pada peringkat keempat, fungsi ginjal merosot dengan teruk dan perancangan untuk kegagalan peringkat akhir ginjal mula dilakukan. Peringkat kelima pula berlaku apabila ginjal gagal berfungsi sepenuhnya.

Hampir semua pesakit ginjal tahap satu dan dua boleh diuruskan di pusat penjagaan kesihatan untuk me­ngenal pasti individu yang mempunyai risiko mendapat penyakit ginjal progresif, seterusnya mengurangkan risiko yang berkaitan seperti penyakit kardiovaskular dan kematian yang meningkat dengan kehadiran CKD.

Bagi peringkat ketiga CKD, kemerosotan fungsi ginjal yang berlaku secara pantas perlu diberi perhatian segera, memperlahankan dan merawat masalah ginjal serta mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan kematian yang semakin meningkat pada tahap ini.

Malah risiko kardiovaskular yang membawa kepada kematian lebih tinggi daripada risiko memerlukan dialisis atau pemindahan ginjal. Sesetengah pesakit memerlukan pemeriksaan mendalam jika terdapat tanda yang menunjukkan berlaku proses ke arah kegagalan ginjal tahap kelima.

Pesakit ginjal pada pering­kat keempat dan kelima selalunya perlu bersedia untuk melakukan rawatan secara aktif untuk terus hidup manakala pesakit CKD peringkat kelima hanya boleh meneruskan kehidupan dengan cara menjalani rawatan dialisis atau melakukan pemindahan ginjal.

CKD diukur menerusi kadar penapisan glomerular (GFR), yang berbeza me­ngikut pelbagai faktor antaranya jantina, saiz tubuh dan bangsa.

Di Malaysia, CKD adalah masalah kesihatan yang serius di mana perawatan dialisis dan pemindahan diperlukan bagi pesakit untuk meneruskan kehidupan. Pada penghujung 2011, negara ini mencatatkan seramai 25,688 pesakit dialisis dan 1,884 penerima pemindahan buah pinggang berdaftar.

Penyakit ginjal kronik secara umumnya mempengaruhi semua aspek kehidupan pesakit dan kebanyakannya menganggap hanya perawatan dialisis dan pemindahan buah ping­gang sebagai jalan bagi mengawal penyakit itu dan mengabaikan peranan penting pengurusan pemakanan serta diet.


Amalan gaya hidup sihat

Menurut Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Ghazali Ahmad, ketika ini bilangan pesakit CKD kian bertambah dan angka itu boleh berada pada tahap membimbangkan sekiranya orang ramai tidak mengambil sebarang langkah pencegahan awal.

Katanya, amalan pemakanan dan menjalani gaya hidup yang sihat mampu memberi kesan yang dapat menjaga fungsi ginjal, membantunya berada pada tahap terbaik, seterusnya mengelak masalah CKD daripada menyerang.

“Orang ramai perlu tahu mereka yang menjalani dialisis adalah pesakit yang berada pada tahap kelima iaitu buah pinggangnya sudah rosak dan tidak dapat membantu menapis bahan bua­ngan.

“Namun ada ramai lagi yang tidak sedar keadaan mereka yang kemungkinan sedang berhadapan dengan penyakit senyap ini.

“Ini kerana selalunya mereka tidak sedar sedang berhadapan dengan CKD tahap satu hingga empat ataupun jika tahu, mereka tidak me­ngambil berat sehinggalah buah pinggang gagal berfungsi,” katanya ketika pelancaran buku Resipi Pesakit Dialisis 2013, hasil usaha sama Jabatan Nefrologi, Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta AbbVie Sdn Bhd, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Perkhidmatan Nefrologi bagi Kementerian Kesihatan Malaysia berkata, penyakit dialisis memberi kesan ­kepada kualiti kehidupan dan pesakit tidak boleh sembarangan makan atau minum kerana ia boleh memberi kesan kronik pada diri mereka.

Sebagai contoh katanya, pesakit dialisis perlu tahu mereka hanya boleh mengambil cecair antaranya minuman, sup atau ­buah-buahan berair dengan jumlah hanya 500 mililiter sehari, biarpun keadaan cuaca panas.

“Ini kerana kandungan air yang berlebihan tidak boleh dikeluarkan menerusi saluran kencing, menyebabkan badan mereka penuh air hingga ada yang mula sesak nafas kerana kandungan air sudah sampai ke paru-paru.

“Mereka juga tidak boleh mengambil garam kerana ia menyebabkan takungan air dalam badan yang juga akan memburukkan keadaan mereka. Air yang berlebihan tidak boleh dikeluarkan hanya dengan cara berpeluh atau cirit-birit kerana ia tidak normal.

“Akhirnya mereka terpaksa ke hospital dan kita bantu keluarkan cecair ­dengan cara dialisis. Ada pesakit yang ditegur kerana perkara yang sama berulang tetapi alasan yang diberi adalah cuaca panas. Panas atau tidak, jumlah cecair perlu dihadkan demi kesihatan mereka juga,” katanya.

Katanya, penyakit ber­kenaan sedang meningkat dalam masyarakat dan ­ketika ini terdapat 1,000 jururawat di seluruh negara hanya untuk rawatan ­dialisis.

Menurutnya, pesakit juga disaran mengelak makan makanan masin atau panas yang memerlukan mereka minum banyak air dan perlu ‘melatih semula’ lidah untuk menerima makanan kurang garam.

“Untuk menguruskan keadaan mereka, pesakit dialisis perlu mengawasi diet dengan teliti. Oleh itu, penting bagi mereka untuk me­nyedari jumlah protein, kalori, cecair, vitamin dan mineral yang diambil setiap hari,” katanya.

“Pesakit perlu mendapat kandu­ngan protein dan khasiat yang seimbang setiap hari untuk mencapai hasil dialisis yang baik kerana mereka akan ­mengalami kehilangan protein ketika menjalani rawatan itu.

“Selalunya pesakit dilarang mengambil makanan itu dan ini sehingga mereka takut untuk makan hingga ada yang kurang zat pula. Jadi kami menyediakan buku Resipi Pesakit Dialisis 2013 sebagai panduan,” katanya.

Pengambilan diet protein yang disarankan pakar pemakanan untuk pesakit dialisis berbeza berbanding dengan apa yang disarankan kepada pesakit CKD lanjut tanpa rawatan dialisis.

Sumber protein adalah penting dalam membina, memperbaiki tisu dan menentang jangkitan. Pengambilan protein dan kalori yang terlalu sedikit sering menyebabkan kurang zat dalam kalangan pesakit.

Sebaliknya, pengambilan protein pula menjana bahan buangan yang perlu dikeluarkan. Produk sisa akan bertambah antara rawatan dialisis, namun makanan yang kaya dengan protein ­secara umum juga mempunyai kandungan fosfat yang tinggi yang perlu dikawal dalam diet pesakit. Justeru, pemilihan jenis protein yang betul juga penting diambil kira oleh pesakit.

Antara punca yang ­menyumbang kepada CKD adalah penyakit kencing manis dan darah tinggi yang tidak dikawal dan dibiarkan berlaku dalam tempoh yang panjang selain penyakit genetik.

Pengambilan dadah berlebihan seperti aspirin, ibuprofen dan paracetamol juga boleh menyebab­kan kerosakan pada ginjal. Pada masa sama, penyakit berjangkit seakan-akan influenza, Hantavirus menyerang ginjal hingga mengakibatkan kegagalan organ berkenaan untuk berfungsi seperti biasa.

Simptom CKD pula berbeza antara individu tetapi selalunya mereka tidak akan berasa sakit atau me­nyedari simptom terbabit. Namun apabila kegagalan ginjal berada pada tahap lebih kritikal, simptom akan mula kelihatan.


Simptom CKD

1. Muntah atau cirit-birit yang membawa kepada dehidrasi.
2. Mual.
3. Turun berat badan.
4. Kencing malam.
5. Kencing lebih kerap dalam jumlah banyak berbanding biasa dan air kencing warna cair.
6. Kurang kencing dan jumlah yang sedikit berbanding biasa dengan air kencing berwarna gelap.
7. Darah dalam air kencing.
8. Sukar membuang air kecil.
9. Air kencing dalam jumlah luar biasa.
10. Rasa gatal di kulit.
11. Kerosakan tulang, patah sukar pulih.
12. Otot kejang atau lumpuh.
13. Ritma jantung tidak normal.
14. Bengkak di kaki, buku lali, muka atau tangan.
15. Nafas putus-putus akibat lebihan cecair dalam paru-paru.
16. Sakit belakang atau bahagian tepi badan.
17. Mudah letih, lemah.
18. Memori terganggu.
19. Sukar memberi tumpuan.
20. Pening.
21. Tekan an darah rendah.
22. Air kencing berbuih.
23. Hilang selera makan.
24. Sukar tidur.
25. Kulit menjadi gelap.

Faktor CKD

1. Berat badan berlebihan.
2. Penyakit kencing manis.
3. Darah tinggi.
4. Merokok.
5. Usia lanjut.
6. Penyalahgunaan dadah.
7. Penyakit genetik.

<<SUMBER>>

Tiada ulasan:

Catat Ulasan