KARIPAP PUSING

Ahad, 24 Mac 2013

Bertungku segarkan tubuh

Terdapat dua jenis tungku yang biasa digunakan iaitu buntil yang mengandungi rempah ratus dan batu sungai yang dipanaskan.
AMALAN bertungku telah berakar-umbi dalam kalangan masyarakat Melayu kerana banyak kebaikan yang diperoleh daripadanya.
Bertungku seeloknya dilakukan pada wanita yang baru melahirkan anak dan sedang berpantang. Menggunakan batu yang dipanaskan merupakan cara paling mudah dan menjimatkan masa.
Pemilik Yoyoy Khampora Spa, Nurul Huda Saparuddin, berkata, terdapat dua kaedah bertungku iaitu tungku yang dibakar menggunakan api atau direbus sehingga mendidih dengan air panas.
Bertungku menggunakan batu yang direbus, membuatkan batu tungku tersebut akan menjadi panas pada bahagian luar dan dalam.
“Selalunya bertungku dilakukan setelah wanita tersebut selesai diurut pada awal pagi dan pada waktu petang selepas mandi selama 45 minit.
“Dengan meletakkan batu tungku di tempat yang betul ia membantu mengecutkan rahim, mengempiskan perut dan melancarkan semula perjalanan darah sekali gus menjadikan tubuh kembali segar serta bertenaga.
“Bertungku untuk wanita yang sedang dalam pantang bersalin dilakukan pada bahagian peranakan, selain dada, ulu hati, tengkuk, ketiak dan belikat. Bertungku di bahagian ini dilakukan dalam keadaan ibu berbaring.
“Bertungku sesuai dilakukan pada waktu pagi, iaitu sebelum matahari naik, dan pada waktu petang selepas Asar. Tengku perlu dibakar semula sekiranya telah sejuk," katanya di temui di spanya yang terletak di Melewati Square, di Taman Melawati, Ampang, Selangor.
Tambahnya lagi, selain bertungku, digalakkan juga menuam bahagian kaki dan perut bayi untuk menyegar dan melancarkan darah menggunakan batu tungku yang lebih kecil.
Dalam pada itu Nurul Huda berkata, bagi wanita yang ingin membuat rawatan bertungku selepas bersalin, boleh berkunjung ke spa beliau.
Katanya, pakej untuk wanita lepas bersalin yang disediakan di Yoyoy Khampora Spa, meliputi rawatan bertangas, urutan tradisional, sengkak, bertungku pilis, dan lulur rempah.
.

Sumber: UTUSAN MALAYSIA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan