KARIPAP PUSING

Selasa, 25 Februari 2014

Hikmah beristighfar mohon keampunan

Syaddad bin Aus berkata, Nabi Muhammad SAW bersabda: “Istighfar iaitu doa meminta ampun yang utama dengan membaca: Wahai Tuhan! Engkaulah Tuhan saya. Tiada Tuhan selain Engkau. Engkau menjadikan saya, dan saya ini adalah hamba-Mu.
Saya mencuba sedaya upaya melaksanakan janji kepada-Mu. Saya berlindung kepada-Mu daripada perbuatan jahat saya sendiri. Saya mengaku Engkau sudah memberi banyak nikmat kepada saya. Saya juga mengaku perbuatan dosa saya. Memang tidak ada sesiapa lagi yang boleh mengampunkan dosa selain daripada-Mu. 

 Keistimewaan doa
Orang yang membaca doa ini pada waktu siang dengan penuh yakin kemudian meninggal dunia pada hari itu sebelum waktu petang, sudah pasti dia menjadi ahli syurga. Dan orang yang membaca doa ini pada waktu malam dengan penuh yakin, kemudian meninggal pada malam itu sebelum tiba waktu pagi, sudah pasti dia menjadi ahli syurga.” (Riwayat Bukhari)

Abdullah bin Abbas berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang membiasakan diri beristighfar meminta ampun, Allah akan melepaskan dia daripada semua kesempitan dan melapangkan daripada semua kesusahan. Serta memberi rezeki yang tidak disangka-sangka kepadanya.” (Riwayat Abu Daud)- bharian

Ahad, 16 Februari 2014

Kucing baka baharu seperti serigala jadian

Spesies Lykoi dikatakan sangat setia dengan tuannya.
 SEEKOR kucing baka baharu di Amerika Syarikat (AS) kelihatan seperti serigala jadian dan perilakunya dikatakan menyerupai anjing.

Kucing digelar Lykoi itu dibiakkan pasangan suami isteri, Johnny Gobble dan Brittney di Tennessee adalah satu-satunya pembiak spesies itu di dunia.

Menurut Gobble, mutasi genetik telah menyebabkan Lykoi berbulu pendek dan hanya menutupi beberapa bahagian badannya.

"Ia mempunyai sifat suka memburu dan sentiasa berwaspada dengan orang asing tetapi cepat mesra jika dibelai dengan manja," katanya dipetik dari laporan DailyMail.

Difahamkan, berat Lykoi betina hanya 2 kilogram (kg) manakala kucing jantan pula boleh mencecah sehingga 3.2 kg. - sinarharian

Khamis, 6 Februari 2014

Kenali Ulama Palsu

Berjuang untuk pertahan kedudukan, sembunyi kebenaran

Islam adalah agama ilmu. Orang berilmu mempunyai kedudukan tinggi dalam Islam kerana mengenali Wujud yang tertinggi, iaitu Wujud yang hakiki dan pengenalan itu menimbulkan sifat takut dan gerun kepada-Nya (Fatir: 28). Dengan itu al-Quran menggelarkan mereka ‘ulama’

Sayyidina Ali RA. menyatakan mengenal Allah adalah permulaan agama kerana tidak mungkin seorang hamba benar-benar mengerjakan ketaatan kepada-Nya tanpa mengenali Zat, Sifat dan Perbuatannya. 


Takut kepada Allah adalah tanda mengenali-Nya, maka wajiblah kita fahami bahawa mereka yang tidak takut kepada-Nya adalah mereka yang tidak mengenali-Nya. Mereka bukanlah ulama menurut takrifan al-Quran walaupun seluruh manusia menggelarkan mereka ulama. Mereka adalah ulama palsu”

Mengenal Allah adalah maksud sebenar al-Quran, manakala syariat dan ibadah adalah jalan kepada-Nya. Pastilah nyata keutamaan maksud dan jalan yang menyampaikan kepada maksud.

Takut kepada Allah adalah tanda mengenali-Nya, maka wajiblah kita fahami bahawa mereka yang tidak takut kepada-Nya adalah mereka yang tidak mengenali-Nya. Mereka bukanlah ulama menurut takrifan al-Quran walaupun seluruh manusia menggelarkan mereka ulama. Mereka adalah ulama palsu. 

Ciri-ciri ulama palsu

Antara tanda seseorang itu tidak kenal Allah adalah dia berani bercakap sembarangan tentang-Nya, persis percakapan kaum yang kafir yang mengikut hawa nafsu, sedangkan kita ditegah daripada menuruti hawa nafsu mereka setelah datang kepada kita ilmu, yakni petunjuk al-Quran (al-Baqarah: 120). 
Ulama palsu tidak takut kepada Allah kerana mereka lebih bimbangkan kedudukan dan kemasyhuran mereka di sisi manusia. Bagi memastikan kedudukan dan kepentingan diri dan puak yang mereka sokong, mereka sanggup menyembunyikan kebenaran dan membiarkan kebatilan.

Contoh kebatilan itu ialah yang dilaporkan dalam akhbar baru-baru ini bahawa menurut seorang tokoh agama dari Timur Tengah, kalimah Allah adalah milik semua manusia. Sekiranya benarlah itu yang dikatakannya, maka ia adalah kebatilan nyata. 

Bagaimanakah mungkin dari segi adab untuk kita mengatakan bahawa Nama Allah milik semua manusia sedangkan Allah telah menegaskan dalam al-Quran bahawa Nama-nama Yang Indah itu adalah milik-Nya (al-Hashr: 24), iaitu Nama-nama yang Dia berikan sendiri bagi merujuk kepada Zat-Nya. 

Oleh itu, sesiapa pun selain daripada-Nya tidak layak untuk menggunakannya. Tiada orang yang akan memakai nama Allah, al-Rahman, al-Rahim dan al-Jabbar melainkan dia benar-benar jahil lagi sesat dan tiada kerajaan Islam akan membenarkan perbuatan seumpama itu dilakukan tanpa pembanterasan. 

Yang dibenarkan adalah apabila ditambah di hadapannya perkataan ‘Abd’ yang bererti ‘hamba.’ Maka kita temui nama-nama seperti Abdullah, Abdul Rahman, Abdul Rahim dan Abdul Jabbar.

Sekiranya nama itu milik semua manusia, sememangnya tiada masalah untuk sesiapa pun menggunakannya kerana pemilik sesuatu memang berhak memperlakukan apa saja dengan apa yang dia miliki. 

Sejarah al-Hallaj

Sejarah menunjukkan bahawa al-Hallaj telah dihukum mati dengan sebab kata-katanya: “Akulah al-Haqq!” Alasannya amat jelas: nama ‘al-Haqq’ itu milik Allah semata-mata, dan ia tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya bagi merujuk kepada yang selain daripada-Nya. Nasib Hallaj pastilah berbeza sekiranya dia mengatakan: “Ana Abd al-Haqq” (akulah hamba al-Haqq) kerana itu adalah kenyataan yang benar.

Hanya mereka yang tidak kenal Allah dan tidak takut kepada-Nya akan mengeluarkan kenyataan sedemikian. Kenyataan itu ternyata selari dengan pandangan kaum yang disebut dalam al-Quran sebagai pengikut hawa nafsu. 

Kenyataan seperti itulah yang dinanti-nantikan oleh puak Katholik yang berkeras bahawa kalimah ‘Allah’ adalah milik semua. Mereka mendakwa ‘berhak’ menggunakan nama itu bagi merujuk kepada sebarang tuhan yang disebut dalam kitab mereka sama ada yang dirujuk sebagai ‘God’ (Allah), ‘god’ (allah), mahupun ‘gods’ (allah-allah).

Ternyata mereka berjaya mengelirukan sebahagian orang Melayu dengan memakai hujah kebebasan beragama. Hakikatnya, ini bukanlah soal hak kebebasan beragama, sebaliknya soal pemalsuan kalimah dan penyelewengan makna. 

Malang sekali, terlalu ramai dalam kalangan Muslimin terpedaya kerana bertuankan ulama palsu yang melihat kepentingan politik mengatasi kepentingan agama dan bangsa.
Penulis adalah Fello Kanan, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia -BH