KARIPAP PUSING

Label

Memaparkan catatan dengan label KESIHATAN. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label KESIHATAN. Papar semua catatan

Selasa, 20 Ogos 2013

Keajaiban susu ibu

Tinggi khasiat untuk bayi, jadikan EBM satu budaya dalam masyarakat

Penyusuan bayi begitu sempurna apabila bayi mendakap erat ibu dan bibirnya rapat dengan puting payudara ibu sehinggalah aktiviti menyusu berjalan dengan penuh kemesraan. 
Hubungan erat ini hanya dapat dinikmati suri rumah namun tidak bagi ibu bekerjaya yang terpaksa meninggalkan susu perahan (EBM) kepada pengasuh demi mengekalkan penyusuan badan. 

Wanita sudah terdedfah kepada penyusuan ibu sejak kecil, justeru, apabila menjadi ibu, ia tidak janggal." Dr Faridah Idris, Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM

Justeru itu, sempena minggu penyusuan susu ibu sedunia pada 1 hingga 7 Ogos lalu yang memetik tema Sokongan Penyusuan Susu Ibu: Dampingi Ibu, begitu baik diterapkan dalam kalangan insan yang berada dekat dengan si ibu sebagai tanda sokongan.

Memahami penyusuan ibu secara semula jadi, ia adalah kaedah terbaik memastikan bayi anda memperoleh zat yang diperlukan. Susu ibu amat tinggi khasiatnya dengan kandungan protein mudah hadam dan komponen pertahanan badan semula jadi yang melindungi bayi daripada ancaman penyakit. 

Kolostrum, susu yang dihasilkan sewaktu kelahiran atau susu awal bayi bukan saja padat dengan zat, malah kaya dengan antibodi yang berupaya melindungi bayi daripada ancaman bakteria dan virus pembawa penyakit.

Kajian menunjukkan penyusuan susu ibu berupaya mengekalkan tahap kesihatan kanak- kanak sehingga dewasa. Individu yang membesar dengan penyusuan susu ibu didapati mempunyai tekanan darah yang terkawal dan rendah paras kolesterol. Mereka juga didapati kurang mengalami masalah berat badan berlebihan serta Diabetes Mellitus jenis 2. 
Beberapa data mengesyorkan individu yang diberi susu ibu menunjukkan prestasi yang lebih baik dalam ujian kecerdasan minda. Penyusuan susu ibu adalah benar-benar menjimatkan kos bahkan adalah zat pemakanan yang unggul untuk anak.

Oleh itu, penyusuan susu ibu seharusnya diterapkan sebagai langkah pertama ke arah usaha mengurangkan permasalahan kekurangan zat dalam kalangan kanak-kanak
serata dunia.

Kurang sokongan 

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan kadar kematian kanak-kanak bawah lima tahun dapat dikurangkan antara 13 hingga 20 peratus sekiranya penyusuan susu ibu diamalkan secara eksklusif iaitu tiada makanan atau minuman tambahan, puting dan sebagainya) untuk tempoh enam bulan pertama dan diteruskan sehingga ke usia dua tahun atau lebih. Amalan penyusuan susu ibu eksklusif sebegini kemudian diikuti dengan pengenalan makanan tambahan bermula dari usia enam bulan.

Di Malaysia, kesedaran memberikan susu ibu semakin meningkat. Wanita menerima konsep penyusuan susu ibu selepas menyedari mengenai pelbagai manfaat.

Cuma, sokongan daripada pelbagai pihak dan agensi masih kurang manakala sebilangan ibu menyusukan secara eksklusif pada tiga bulan pertama gagal meneruskan amalan terbabit apabila mereka kembali bekerja. 

Sistem sokongan terhadap amalan penyusuan susu ibu secara berterusan boleh didapati dalam pelbagai kaedah. Sama ada secara tradisional iaitu melalui ahli keluarga atau kaedah lebih moden iaitu melalui kakitangan kesihatan terlatih, pakar perunding laktasi, ketua komuniti dan rakan. 

Kunci kepada kejayaan amalan penyusuan susu ibu adalah memastikan wujudnya sistem sokongan secara berterusan khususnya dalam lingkungan kediaman dan komuniti mereka.

Dalam usaha untuk mempromosikan penyusuan susu ibu secara menyeluruh, Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia sebagai wadah kumpulan atau pertubuhan di serata dunia untuk meningkatkan kesedaran umum dan mendapatkan sokongan aktiviti terbabit. 

Sokongan lain seperti perkhidmatan penjagaan bayi yang mesra penyusuan susu ibu, majikan yang menyediakan kemudahan untuk ibu menyusu dan kumpulan sokongan dalam masyarakat juga kritikal untuk memastikan ibu dapat mencapai impian penyusuan masing-masing. 

Di peringkat keluarga, semua ahli keluarga terdekat termasuk suami, ibu dan ibu mentua adalah sistem sokongan yang diperlukan untuk ibu menyusu.

Sokongan pelbagai pihak bantu tingkatkan kesedaran 

Kerjasama pelbagai pihak bermula daripada penggubal polisi negara, institusi kesihatan, staf dan pengamal kesihatan, majikan, masyarakat dan keluarga sepatutnya digerakkan untuk memastikan penyusuan susu eksklusif ibu diamalkan secara meluas. 

Pensyarah Perubatan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Dr Faridah Idris, berkata polisi penyusuan yang digariskan oleh Badan Kesihatan Sedunia dan Kementerian Kesihatan menggalakkan semua ibu menyusui bayinya dengan susu ibu saja dari lahir hingga berumur enam bulan dan meneruskannya sehingga mencapai umur dua tahun.

Katanya, dengan adanya polisi di peringkat tertinggi negara bagi mempromosi, menyokong dan melindungi penyusuan susu ibu, usaha serta strategi dapat direalisasikan.

“Pada abad ini hampir semua wanita bersalin di hospital. Peranan hospital membantu memberi ibu pengalaman yang positif. Hospital Rakan Bayi boleh meningkatkan kadar memulakan penyusuan ibu di hospital. 

“Pihak hospital wajar meneruskan kesinambungan memberi sokongan kepada ibu selepas keluar dari hospital termasuk menggalakkan persediaan terancang menyimpan stok susu perahan sebelum kembali bertugas.

“Perahan susu disimpan rapi, dilabel tarikh dan waktu perahan dan ditempatkan secara teratur dalam peti dingin beku. Andai kata ini dilakukan secara teratur dan konsisten, EBM akan dapat dikumpulkan secukupnya,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Pembimbing Ibu Menyusu Malaysia, digalakkan menyimpan EBM dua minggu sebelum mula bertugas. Menyusu badan boleh dilakukan seperti biasa untuk memastikan aliran susu berjalan lancar dan konsisten.

Jika ada masalah, ibu boleh merujuk kepada garis panduan disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia atau Academy of Breastfeeding Medicine. 

Kualiti susu 

Sekiranya penyimpanan EBM berkompromi, anda akan dapat mengesan perubahan pada EBM terbabit iaitu perubahan ketara dari segi warna, bau juga rasa. Namun demikian, adalah diketahui bahawa EBM yang disimpan berkemungkinan mengalami sedikit perubahan bau serta rasanya akibat daripada tindakan enzim lipase, iaitu enzim yang mengurai komponen asid lemak bagi membantu proses penghadaman susu ibu. 

“Tindakan enzim ini amat bermanfaat untuk bayi pramatang. Oleh itu, 
jika berubah rasa dan bau akibat tindakan enzim lipase, EBM anda masih selamat dan tidak memudaratkan si manja. Meskipun demikian, terdapat juga bayi yang tidak mahu minum EBM terbabit. Fungsi enzim lipase yang penting ini akan ternyah andai kata EBM dipanaskan ke suhu melebihi 40 °C, maka amalan sebegini tidak digalakkan. 

“Berbekalkan maklumat ini, bagi ibu yang menyimpan stok EBM perlu meneliti keadaan EBM mereka. Andainya perubahan ketara berlaku dari segi warna, bau atau rasa, mungkin penyimpanan EBM berkompromi dan tidak wajar diberi kepada bayi. Jangan gusar, ibu boleh juga merujuk bantuan pakar dan kaunselor laktasi mengenai kualiti susu yang diperah,” katanya.

“Saya berharap penyusuan ibu menjadi normal dalam masyarakat. Wanita sudah terdedah kepada penyusuan ibu sejak kecil, justeru apabila mereka menjadi ibu, ia bukan sesuatu yang janggal.

Rakan pembimbing 

Rakan pembimbing ini biasanya adalah wanita dalam komuniti yang sudah diberi latihan untuk menyokong penyusuan ibu. Mereka bergerak dalam komuniti masing-masing dan membantu ibu menyusu sama ada secara bersemuka di rumah ibu atau hospital, memberi sokongan di alam maya, melalui panggilan telefon atau mengadakan perjumpaan kumpulan sokongan.

Kajian mendapati sokongan akan pembimbing mampu meningkatkan tempoh penyusuan ibu di sesuatu komuniti.

INFO: Faedah Susu Ibu

1) Kajian menunjukkan bayi diberikan susu ibu mempunyai risiko obesiti yang rendah berbanding kanak-kanak yang diberi susu formula.

2) Risiko penyakit kronik ibu yang tidak menyusukan bayi adalah 30 hingga 200 peratus lebih tinggi berbanding ibu menyusukan bayi mereka. 

3) Keadaan ini menyebabkan berlaku peningkatan dramatik penyakit kencing manis dan lain- lain dan menambah kos penjagaan kesihatan individu dan negara.

4) Manfaat kepada ibu termasuk cepat pulih selepas bersalin, membantu mengurangkan berat badan, kurang risiko terhadap osteoporosis serta kanser ovari dan payudara.

5) Pelbagai kajian menjelaskan penyusuan susu ibu memberi manfaat jangka panjang, termasuk meningkatkan pencapaian intelek, perlindungan terhadap tekanan darah tinggi, menurunkan paras kolesterol darah serta mengurangkan kejadian diabetes mellitus dan obesiti ketika dewasa. sumber

Khamis, 6 Jun 2013

Ketatkan otot pelvik

Senaman kemutan tingkatkan tahap kesihatan selepas hamil dan akibat proses penuaan

Kemutan faraj baik untuk kesejahteraan dan kesihatan diri terutama bagi yang sudah berumahtangga. Namun kemutan yang tidak mengikut kaedah yang betul dan tidak bertenaga kurang memberi manfaat secara keseluruhannya. 

Kemut bukan ayat berbaur lucah atau menggugat sensitiviti budaya. Ia adalah senaman membabitkan kesihatan yang perlu dikongsi bersama. 
Di Benua Afrika, ada kaum yang melatih anak perempuannya cara kemutan yang betul. Ia ia menjadi tradisi dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi mengenai ilmu berkenaan bagi memastikan mereka bersedia melangkah ke alam rumah tangga. 


Di Australia, kesedaran pentingnya wanita melatih otot pelvik menerusi teknik kemut begitu meluas dibicarakan. Sasaran utama kempen berjudul otot pelvik mensasarkan wanita yang baru atau pernah menyusu bayi, wanita yang sedang dan sudah melalui proses menopaus serta wanita hamil. 

Kajian di Australia mendapati, lebih 50 peratus wanita berusia 40-an mengalami masalah menahan kencing disebabkan lantai pelvik, otot dan saraf lemah. 

Hakikatnya, bagi ibu yang sedang sarat hamil, masalah kekerapan membuang air kecil adalah perkara yang sering berlaku terutama pada akhir kehamilan, namun ada juga yang mengalami masalah itu sejak awal kehamilan. Paling teruk, ada yang tidak dapat menahan rasa kencing dan boleh terkucil pada bila-bila masa saja. 

Ini bukan perkara biasa kerana masalah ini berpunca daripada bebanan berat janin yang memberi tekanan kepada pundi kencing manakala otot dasar pelvik lemah boleh memberi implikasi mereka terkucil akibat tidak dapat mengawal atau menahan kencing. 
Kebarangkalian wanita berhadapan masalah lebih lebih tinggi khususnya wanita berusia dan kerap bersalin serta struktur tubuh wanita sendiri. 

Apabila otot dasar pelvik kuat, ia membantu meningkatkan tahap kecergasan dan kesihatan wanita serta membina keyakinan diri ketika melakukan pelbagai perkara. Menguatkan otot dasar pelvik, boleh dilakukan menerusi senaman kemutan atau kegelini. 

Persoalannya, adakah teknik kemutan secara semula jadi yang dibuat menjadi dan sempurna kaedahnya? Hakikatnya, walaupun kerap dalam sehari melakukan senaman kemutan ia masih gagal membantu mengatasi masalah itu jika tidak tahu prosedur yang betul. 

Jangan berdiam diri 

Justeru, sikap malu harus dibuang jauh-jauh. Cuma apa yang berlaku sekarang walaupun sudah beranak-pinak, perkara membabitkan alat kelamin mahupun bahagian peranakan dianggap cerita sensitif. 

Ia dianggap rahsia sehinggalah penyakit yang dialami mula ‘bernanah’ barulah empunya diri sedia berjumpa doktor atau berkongsi cerita dengan teman baik. 

Eksekutif Kanan Pemasaran Bioinfinity, Kwek Sok Yin, berkata otot dasar pelvik lemah memberi kesan untuk mengawal kencing dan penyebab gagal menahan kencing. 

“Ketika mengandung umpamanya otot pelvik menjadi lemah dan bayi yang berada dalam perut menekan pundi kencing menyebabkan ramai wanita tidak dapat menahan kencing. Begitu juga selepas melahirkan, otot akan kendur dan longgar. Oleh itu, senaman kemut amat penting untuk menguatkan semula bahagian otot. 

“Malah ada wanita yang mengandung terkucil ketika batuk atau bersin dan ada yang mengaitkan situasi itu dengan peranakan jatuh. Semua ini boleh dirawat dan sembuh jika kena dengan caranya,” katanya. 

Beliau berkata, otot pelvik yang kuat memainkan peranan besar dalam memastikan proses kehamilan selamat dan sihat. Ketika mengandung otot lantai pelvik ini perlu menampung berat tambahan bayi yang dikandung dan ketika bersalin. Otot lantai ini juga membantu menolak keluar bayi dan memastikan proses bersalin berjalan lancar.

INFO 

Tujuh sebab perlu kuatkan otot lantai pelvik:
 
  • Kecantikan bermula dengan kesihatan yang lebih baik 
  • Kehamilan dan melahirkan 
  • Proses penuaan semula jadi dan menopaus 
  • Menambah keyakinan diri dan meningkatkan tindak balas seksual 
  • Mengelakkan masalah organ pelvik jatuh 
  • Mencegah atau merawat inkontinen 
  • Alternatif kepada pembedahan, ubat-ubatan, lampin dewasa dan tuala wanita.
  • sumber


Isnin, 20 Mei 2013

Aprikot Vitamin B17|: Sinar baru penderita kanser

BAGAIMANA B17 MEMBUNUH SEL KANSER

UMUM mengetahui kanser adalah antara penyakit kronik yang amat digeruni oleh manusia seantero dunia. Terdapat lebih daripada 100 jenis kanser dan lima yang utama antaranya ialah kanser paru-paru, perut, hati, kolorektal dan tidak ketinggalan juga kanser payudara yang kekal sebagai pembunuh utama wanita apabila terdapat 1.05 juta kes setiap tahun di seluruh dunia. Menurut WHO, potensi untuk mendapat kanser boleh dicegah sebanyak 30% jika masyarakat memberhentikan penggunaan tembakau dan alkohol, mengamalkan diet yang seimbang dan menjalani gaya hidup aktif dan sihat.
Kita sering mendengar pepatah "mencegah lebih baik daripada mengubati." Namun realitinya, seringkali berlaku di mana pesakit kanser hanya menyedari bahawa mereka menghidap kanser apabila sudah berada di tahap 4. Gejala-gejala awal kanser sering diabaikan oleh pesakit kerana menganggap simptom tersebut akan hilang dengan sendirinya. Seharusnya, mereka perlu membuat pemeriksaan awal bagi mendapatkan kepastian seperti menjalani ujian kolonoskopi, mammogram, Prostate-Specific Antigen (PSA) dan sebagainya.
BAGAIMANA VITAMIN B17 MEMBANTU?B17 boleh didapati pada 1200 jenis tumbuh-tumbuhan terutamanya biji aprikot. Nutrien terpenting dalam biji aprikot ialah Amygdalin atau Laetrile yang juga dikenali sebagai Vitamin B17. B17 bertanggungjawab memusnahkan sel asing dan mengeluarkannya melalui perkumuhan. Berdasarkan buku yang bertajuk "World without Cancer", tulisan G. Edward Griffin, biji aprikot mentah mempunyai kepekatan B17 yang tertinggi jika dibandingkan dengan biji-biji buah yang lain. Vitamin B17 mampu meningkatkan sistem imunisasi dan daya ketahanan badan serta meningkatkan tahap kecerdasan kesihatan seseorang individu. Malangnya, menurut Dr. Micheal Tait dari Australia, terdapat bukti kukuh bahawa berlaku pengurangan pengambilan vitamin B17 dalam makanan seharian kita yang merupakan penyebab utama seseorang berisiko mendapat kanser.
Vitamin B17 merupakan agen kimoterapi semulajadi. Ia terdiri daripada glukosa, sianida dan benzaldehyde. Sianida dan benzaldehyde adalah bersifat racun. Namun dalam Vitamin B17, ia terkunci rapat dan tidak membahayakan. Ikatan ini hanya boleh dipecahkan dengan kehadiran enzim Beta-Glucosidase. Enzim ini hanya boleh didapati pada sel kanser. Apabila Vitamin B17 berada dalam tubuh badan, ia akan meliputi sel-sel kanser dan seterusnya enzim ini akan menguraikan Vitamin B17 kepada elemen Sianida, Benzaldehyde dan Glukosa. Elemen Sianida dan Benzaldehyde ini akan membunuh sel kanser tersebut. Lebihan Vitamin B17 akan ditukar kepada elemen-elemen positif oleh enzim Rhodanese yang terdapat pada tubuh badan.
VITAMIN B17-KELEBIHAN KEPADA PENGAMALNYAKajian mengenai keberkesanan Vitamin B17 telah pertama kali dilakukan oleh seorang pakar Biokimia yang berdedikasi Dr. Ernest T. Krebs pada tahun 1950. Kajian susulan juga dilakukan oleh pakar kanser Jerman, Dr. Dean Burk di mana di dalam pemerhatian beliau di bawah mikroskop, Vitamin B17 telah dimasukkan ke dalam sel kanser dan mendapati sel-sel kanser tersebut mati dengan cepat sekali. Selain itu, penemuan ini turut mendapat perakuan daripada beberapa saintis perubatan yang lain. Antaranya, Dr. Hans Nieper iaitu seorang pakar kanser dari Jerman Barat. Melalui pengalaman beliau selama 20 tahun, beliau mendapati B17 sangat berkesan sebagai langkah pencegahan kanser dan beliau turut mengakui tiada vitamin lain melainkan B17 yang dapat mengawal semua jenis kanser.
Penaung kepada produk Farmas Health, Profesor Madya Dr. Syed Zainal Husin Wafa, seorang pakar perubatan berpengalaman dan bekas Ketua Jabatan Anatomi di Fakulti Perubatan UKM mengakui biji aprikot mengandungi kandungan Vitamin B17 paling tinggi berbanding dengan tumbuhan lain serta mampu meningkatkan tahap kesihatan dan seterusnya membantu dalam mengurangkan risiko mendapat penyakit-penyakit kronik metabolik. Walaubagaimanapun, beliau tidak menggalakkan pengambilan biji aprikot yang mentah kerana dikhuatiri terdedah kepada bakteria, kulat dan radikal bebas sewaktu proses penghantaran dan penyimpanan. Ini boleh menyebabkan keracunan terhadap tubuh badan. Beliau menggalakkan pengambilan biji aprikot yang telah diproses dan dikapsulkan daripada 100% biji aprikot terpilih mengikut piawaian teknologi farmaseutikal yang tinggi melalui penyelidikan klinikal dan telah mendapat kelulusan dari Biro Farmaseutikal Kebangsaan serta telah didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.
Kelebihan Vitamin B17 telah berjaya dibuktikan oleh masyarakat Hunza di Pakistan. Mereka juga menjadikan buah dan biji aprikot sebagai diet utama mereka. Dari bijinya, dihasilkan minyak masak dan losyen muka. Inilah faktor yang menyebabkan kaum ini mempunyai purata umur sehingga 100 tahun.
Pakar Kesihatan Awam yang juga Presiden Kelab Prostar Malaysia, Dr. Ismail Lasa berkata, "Aprikot yang kaya dengan vitamin B17 dapat membantu merencatkan perkembangan sel abnormal dan sekaligus mengekalkan perkembangan sel sihat di dalam tubuh badan." Salah seorang pesakit kanser iaitu Pn Nur Akhma Nordin, 67 tahun telah disahkan menghidap kanser kulit yang kronik pada 2004. Walaupun telah menjalani rawatan konvensional, namun tiada sebarang perubahan. Pada 2005, beliau akhirnya membuat keputusan untuk mengambil aprikot vitamin B17 sebagai langkah alternatif. Selang beberapa bulan, kanser pada muka beliau bertukar kemerahan serta beransur sembuh dan kesakitannya turut hilang. - Utusan


Isnin, 25 Mac 2013

Sayangi Ginjal

Masalah perlu segera dirawat

Ginjal berfungsi untuk menapis sisa daripada zat makanan dan minuman. Ia kemudiannya dikeluarkan dalam bentuk cecair melalui saluran kencing namun bagi mereka yang mengalami kegagalan organ penting itu, rutin ke tandas terpadam dalam diari harian mereka.
Malah sekiranya ada yang membuang air kecil sekalipun, jumlahnya antara satu titik hingga satu cawan kecil saja dalam tempoh sehari, menyebabkan kebergantungan terhadap dialisis umpama talian hayat demi menjaga keseimbangan cecair dalam tubuh.
Selain membuang sisa melalui air kencing, ­ginjal mempunyai fungsi lain yang amat penting dalam tubuh. Kehilangannya boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan yang kompleks hingga memberi kesan kepada organ dalaman yang lain.

Ginjal juga bertindak menyaring zat daripada proses metabolisme dalam darah, menjaga tekanan osmosis dan mengatur keseimbangan garam dalam tubuh melalui penyisihan sisa seperti urea.

MENU yang sihat penting untuk menjaga hayat ginjal
 
 Kegagalan ginjal untuk berfungsi boleh menyebab­kan pertambahan jumlah cecair dalam badan yang membuatkan tubuh dipenuhi cecair, peningkatan paras asid, paras potasium yang tinggi, pengurangan jumlah kalsium, kadar fosfat yang meningkat dan membawa kepada masalah kekurangan sel darah merah sihat dalam tubuh atau juga dikenali sebagai anemia.
Keadaan itu turut memberi kesan kepada kesihatan tulang dan masalah ginjal yang berpanjangan, menyumbang kepada peningkatan risiko penyakit kardiovaskular yang boleh membawa kepada serangan jantung.


Jenis penyakit

Penyakit ginjal terbahagi kepada dua kategori iaitu akut dan kronik. Kecederaan ginjal akut berlaku apabila fungsi ginjal merosot secara pantas dan progresif, selalunya boleh dikesan melalui pengeluaran air kencing yang semakin berkurangan iaitu kira-kira 400 mililiter bagi dewasa atau 0.5 mililiter bagi kanak-kanak.

Punca masalah ginjal akut perlu dikenali dan dirawat segera bagi menghentikan proses kehilangan fungsi ginjal dan dialisis mungkin perlu dilakukan bagi merapatkan jurang masa yang diperlukan untuk merawat punca asas.

Bagi penyakit ginjal kronik (CKD) pula, ia berlaku secara perlahan dan pada mulanya menunjukkan beberapa tanda. Ia boleh berlaku akibat penyakit ginjal akut yang berpanjangan dan sudah tidak dapat dipulihkan atau sebahagian ­daripada perkembangan penyakit.

Biarpun hanya mereka yang mengalami kegagalan ginjal tahap kelima iaitu hilang fungsi sepenuhnya terpaksa bergantung kepada mesin dialisis, masalah itu sebenarnya bermula secara berperingkat dan perlu dikesan awal supaya ia tidak melarat hingga menyebabkan kematian organ berkenaan.

Seseorang dikira mengalami masalah ginjal apabila organ berkenaan tidak dapat bertugas pada tahap maksimum akibat masalah tertentu untuk menyingkirkan sisa daripada darah secukupnya.

Terdapat lima peringkat CKD dan tahap pertama boleh dikesan apabila keputusan air kencing, struktur tidak normal atau sifat genetik menunjukkan ada masalah pada ginjal, namun ia masih berfungsi secara normal.

Bagi peringkat kedua juga, fungsi ginjal masih normal tetapi ia merosot sedikit berbanding tahap pertama dan penemuan beberapa petanda yang menunjukkan ada masalah ginjal.

Peringkat ketiga pula menyaksikan fungsi ginjal semakin merosot pada kadar lebih pantas manakala pada peringkat keempat, fungsi ginjal merosot dengan teruk dan perancangan untuk kegagalan peringkat akhir ginjal mula dilakukan. Peringkat kelima pula berlaku apabila ginjal gagal berfungsi sepenuhnya.

Hampir semua pesakit ginjal tahap satu dan dua boleh diuruskan di pusat penjagaan kesihatan untuk me­ngenal pasti individu yang mempunyai risiko mendapat penyakit ginjal progresif, seterusnya mengurangkan risiko yang berkaitan seperti penyakit kardiovaskular dan kematian yang meningkat dengan kehadiran CKD.

Bagi peringkat ketiga CKD, kemerosotan fungsi ginjal yang berlaku secara pantas perlu diberi perhatian segera, memperlahankan dan merawat masalah ginjal serta mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular dan kematian yang semakin meningkat pada tahap ini.

Malah risiko kardiovaskular yang membawa kepada kematian lebih tinggi daripada risiko memerlukan dialisis atau pemindahan ginjal. Sesetengah pesakit memerlukan pemeriksaan mendalam jika terdapat tanda yang menunjukkan berlaku proses ke arah kegagalan ginjal tahap kelima.

Pesakit ginjal pada pering­kat keempat dan kelima selalunya perlu bersedia untuk melakukan rawatan secara aktif untuk terus hidup manakala pesakit CKD peringkat kelima hanya boleh meneruskan kehidupan dengan cara menjalani rawatan dialisis atau melakukan pemindahan ginjal.

CKD diukur menerusi kadar penapisan glomerular (GFR), yang berbeza me­ngikut pelbagai faktor antaranya jantina, saiz tubuh dan bangsa.

Di Malaysia, CKD adalah masalah kesihatan yang serius di mana perawatan dialisis dan pemindahan diperlukan bagi pesakit untuk meneruskan kehidupan. Pada penghujung 2011, negara ini mencatatkan seramai 25,688 pesakit dialisis dan 1,884 penerima pemindahan buah pinggang berdaftar.

Penyakit ginjal kronik secara umumnya mempengaruhi semua aspek kehidupan pesakit dan kebanyakannya menganggap hanya perawatan dialisis dan pemindahan buah ping­gang sebagai jalan bagi mengawal penyakit itu dan mengabaikan peranan penting pengurusan pemakanan serta diet.


Amalan gaya hidup sihat

Menurut Ketua Jabatan Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr Ghazali Ahmad, ketika ini bilangan pesakit CKD kian bertambah dan angka itu boleh berada pada tahap membimbangkan sekiranya orang ramai tidak mengambil sebarang langkah pencegahan awal.

Katanya, amalan pemakanan dan menjalani gaya hidup yang sihat mampu memberi kesan yang dapat menjaga fungsi ginjal, membantunya berada pada tahap terbaik, seterusnya mengelak masalah CKD daripada menyerang.

“Orang ramai perlu tahu mereka yang menjalani dialisis adalah pesakit yang berada pada tahap kelima iaitu buah pinggangnya sudah rosak dan tidak dapat membantu menapis bahan bua­ngan.

“Namun ada ramai lagi yang tidak sedar keadaan mereka yang kemungkinan sedang berhadapan dengan penyakit senyap ini.

“Ini kerana selalunya mereka tidak sedar sedang berhadapan dengan CKD tahap satu hingga empat ataupun jika tahu, mereka tidak me­ngambil berat sehinggalah buah pinggang gagal berfungsi,” katanya ketika pelancaran buku Resipi Pesakit Dialisis 2013, hasil usaha sama Jabatan Nefrologi, Jabatan Dietetik dan Sajian Hospital Kuala Lumpur (HKL) serta AbbVie Sdn Bhd, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ketua Perkhidmatan Nefrologi bagi Kementerian Kesihatan Malaysia berkata, penyakit dialisis memberi kesan ­kepada kualiti kehidupan dan pesakit tidak boleh sembarangan makan atau minum kerana ia boleh memberi kesan kronik pada diri mereka.

Sebagai contoh katanya, pesakit dialisis perlu tahu mereka hanya boleh mengambil cecair antaranya minuman, sup atau ­buah-buahan berair dengan jumlah hanya 500 mililiter sehari, biarpun keadaan cuaca panas.

“Ini kerana kandungan air yang berlebihan tidak boleh dikeluarkan menerusi saluran kencing, menyebabkan badan mereka penuh air hingga ada yang mula sesak nafas kerana kandungan air sudah sampai ke paru-paru.

“Mereka juga tidak boleh mengambil garam kerana ia menyebabkan takungan air dalam badan yang juga akan memburukkan keadaan mereka. Air yang berlebihan tidak boleh dikeluarkan hanya dengan cara berpeluh atau cirit-birit kerana ia tidak normal.

“Akhirnya mereka terpaksa ke hospital dan kita bantu keluarkan cecair ­dengan cara dialisis. Ada pesakit yang ditegur kerana perkara yang sama berulang tetapi alasan yang diberi adalah cuaca panas. Panas atau tidak, jumlah cecair perlu dihadkan demi kesihatan mereka juga,” katanya.

Katanya, penyakit ber­kenaan sedang meningkat dalam masyarakat dan ­ketika ini terdapat 1,000 jururawat di seluruh negara hanya untuk rawatan ­dialisis.

Menurutnya, pesakit juga disaran mengelak makan makanan masin atau panas yang memerlukan mereka minum banyak air dan perlu ‘melatih semula’ lidah untuk menerima makanan kurang garam.

“Untuk menguruskan keadaan mereka, pesakit dialisis perlu mengawasi diet dengan teliti. Oleh itu, penting bagi mereka untuk me­nyedari jumlah protein, kalori, cecair, vitamin dan mineral yang diambil setiap hari,” katanya.

“Pesakit perlu mendapat kandu­ngan protein dan khasiat yang seimbang setiap hari untuk mencapai hasil dialisis yang baik kerana mereka akan ­mengalami kehilangan protein ketika menjalani rawatan itu.

“Selalunya pesakit dilarang mengambil makanan itu dan ini sehingga mereka takut untuk makan hingga ada yang kurang zat pula. Jadi kami menyediakan buku Resipi Pesakit Dialisis 2013 sebagai panduan,” katanya.

Pengambilan diet protein yang disarankan pakar pemakanan untuk pesakit dialisis berbeza berbanding dengan apa yang disarankan kepada pesakit CKD lanjut tanpa rawatan dialisis.

Sumber protein adalah penting dalam membina, memperbaiki tisu dan menentang jangkitan. Pengambilan protein dan kalori yang terlalu sedikit sering menyebabkan kurang zat dalam kalangan pesakit.

Sebaliknya, pengambilan protein pula menjana bahan buangan yang perlu dikeluarkan. Produk sisa akan bertambah antara rawatan dialisis, namun makanan yang kaya dengan protein ­secara umum juga mempunyai kandungan fosfat yang tinggi yang perlu dikawal dalam diet pesakit. Justeru, pemilihan jenis protein yang betul juga penting diambil kira oleh pesakit.

Antara punca yang ­menyumbang kepada CKD adalah penyakit kencing manis dan darah tinggi yang tidak dikawal dan dibiarkan berlaku dalam tempoh yang panjang selain penyakit genetik.

Pengambilan dadah berlebihan seperti aspirin, ibuprofen dan paracetamol juga boleh menyebab­kan kerosakan pada ginjal. Pada masa sama, penyakit berjangkit seakan-akan influenza, Hantavirus menyerang ginjal hingga mengakibatkan kegagalan organ berkenaan untuk berfungsi seperti biasa.

Simptom CKD pula berbeza antara individu tetapi selalunya mereka tidak akan berasa sakit atau me­nyedari simptom terbabit. Namun apabila kegagalan ginjal berada pada tahap lebih kritikal, simptom akan mula kelihatan.


Simptom CKD

1. Muntah atau cirit-birit yang membawa kepada dehidrasi.
2. Mual.
3. Turun berat badan.
4. Kencing malam.
5. Kencing lebih kerap dalam jumlah banyak berbanding biasa dan air kencing warna cair.
6. Kurang kencing dan jumlah yang sedikit berbanding biasa dengan air kencing berwarna gelap.
7. Darah dalam air kencing.
8. Sukar membuang air kecil.
9. Air kencing dalam jumlah luar biasa.
10. Rasa gatal di kulit.
11. Kerosakan tulang, patah sukar pulih.
12. Otot kejang atau lumpuh.
13. Ritma jantung tidak normal.
14. Bengkak di kaki, buku lali, muka atau tangan.
15. Nafas putus-putus akibat lebihan cecair dalam paru-paru.
16. Sakit belakang atau bahagian tepi badan.
17. Mudah letih, lemah.
18. Memori terganggu.
19. Sukar memberi tumpuan.
20. Pening.
21. Tekan an darah rendah.
22. Air kencing berbuih.
23. Hilang selera makan.
24. Sukar tidur.
25. Kulit menjadi gelap.

Faktor CKD

1. Berat badan berlebihan.
2. Penyakit kencing manis.
3. Darah tinggi.
4. Merokok.
5. Usia lanjut.
6. Penyalahgunaan dadah.
7. Penyakit genetik.

<<SUMBER>>

Ahad, 24 Mac 2013

Bertungku segarkan tubuh

Terdapat dua jenis tungku yang biasa digunakan iaitu buntil yang mengandungi rempah ratus dan batu sungai yang dipanaskan.
AMALAN bertungku telah berakar-umbi dalam kalangan masyarakat Melayu kerana banyak kebaikan yang diperoleh daripadanya.
Bertungku seeloknya dilakukan pada wanita yang baru melahirkan anak dan sedang berpantang. Menggunakan batu yang dipanaskan merupakan cara paling mudah dan menjimatkan masa.
Pemilik Yoyoy Khampora Spa, Nurul Huda Saparuddin, berkata, terdapat dua kaedah bertungku iaitu tungku yang dibakar menggunakan api atau direbus sehingga mendidih dengan air panas.
Bertungku menggunakan batu yang direbus, membuatkan batu tungku tersebut akan menjadi panas pada bahagian luar dan dalam.
“Selalunya bertungku dilakukan setelah wanita tersebut selesai diurut pada awal pagi dan pada waktu petang selepas mandi selama 45 minit.
“Dengan meletakkan batu tungku di tempat yang betul ia membantu mengecutkan rahim, mengempiskan perut dan melancarkan semula perjalanan darah sekali gus menjadikan tubuh kembali segar serta bertenaga.
“Bertungku untuk wanita yang sedang dalam pantang bersalin dilakukan pada bahagian peranakan, selain dada, ulu hati, tengkuk, ketiak dan belikat. Bertungku di bahagian ini dilakukan dalam keadaan ibu berbaring.
“Bertungku sesuai dilakukan pada waktu pagi, iaitu sebelum matahari naik, dan pada waktu petang selepas Asar. Tengku perlu dibakar semula sekiranya telah sejuk," katanya di temui di spanya yang terletak di Melewati Square, di Taman Melawati, Ampang, Selangor.
Tambahnya lagi, selain bertungku, digalakkan juga menuam bahagian kaki dan perut bayi untuk menyegar dan melancarkan darah menggunakan batu tungku yang lebih kecil.
Dalam pada itu Nurul Huda berkata, bagi wanita yang ingin membuat rawatan bertungku selepas bersalin, boleh berkunjung ke spa beliau.
Katanya, pakej untuk wanita lepas bersalin yang disediakan di Yoyoy Khampora Spa, meliputi rawatan bertangas, urutan tradisional, sengkak, bertungku pilis, dan lulur rempah.
.

Sumber: UTUSAN MALAYSIA

Khamis, 21 Mac 2013

7 panduan kurangkan gout

7 panduan kurangkan gout

Utama penjagaan kesihatan, elak bawa maut
Pengumpulan asid urik, gemuk, tekanan dan kerosakan buah pinggang antara penyebab gout yang lazimnya lebih ramai dihidapi lelaki berbanding wanita.
Golongan berisiko tinggi menghidap penyakit itu ialah mereka yang berusia lebih 40 tahun. 

 Gout iaitu sejenis penyakit sendi, sering dianggap penyakit biasa yang tidak serius dan mengancam nyawa.Bagi mengurangkan kesan serangan gout dan menikmati kehidupan lebih baik, berikut disertakan tujuh panduan yang boleh diamalkan bagi mengelakkan masalah gout.....

sumber klik gambar