KARIPAP PUSING

Jumaat, 25 Oktober 2013

Kelebihan manusia sebagai khalifah

Penting diri, sombong, penyakit tamak, sifat buruk patut dijauhi

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (mengenai hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), pada hal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan menyucikan-Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 30) 

Ayat al-Quran ini dikemukakan dalam bentuk dialog bertujuan untuk mendekatkan kisah itu dengan cara memberikan pemahaman mengenai manusia serta keistimewaan khusus dimiliki mereka. Allah SWT memberitahu malaikat-Nya iaitu Dia akan menjadikan seorang khalifah di atas muka bumi. 
Mendengar kenyataan inilah malaikat menjadi hairan kemudian bertanya bagaimana Engkau menciptakan sejenis makhluk yang melakukan kerosakan di muka bumi ini sedangkan tiada batasan yang menghalang mereka daripada melakukan sesuatu perkara. 



Hikmah diciptakan makhluk 

Allah SWT juga turut memberikan kurniaan kepada malaikat dengan menjelaskan hikmah diciptakan makhluk yang satu ini kepada mereka. Ahli tafsir berpendapat khalifah dalam ayat ini bermaksud tugas pengganti kurniaan Allah SWT untuk melaksanakan perintah-Nya dalam kalangan manusia. 

Allah SWT mencipta manusia daripada Adam dan mengurniakan kepadanya akal fikiran yang dapat memahami semua perkara, tetapi kehebatan manusia tidak dikira kepada kekuatan zahiriah saja, juga dalam mengenali pencipta yang mengangkat mereka dan memberi kedudukan tinggi iaitu Allah SWT. 
Manusia seperti inilah apabila mengenal Allah SWT, tunduk kepada-Nya dan membuka kehidupan ini dengan nama-Nya. Ini antara hikmah kewujudan manusia di dunia ini. Kisah kehidupan manusia boleh dilihat dan difahami dari pelbagai sudut seperti nikmat yang diperoleh sejak kejadian mereka lagi. 

Hakikatnya, sebutir nasi yang dimakan manusia adalah hasil rangkuman kerja makhluk Allah SWT yang berada di langit dan bumi. Tanah, angin dan hujan yang turun serta cahaya matahari saling bekerjasama menyiapkan makanan, pakaian dan ubat-ubatan yang diperlukan manusia. 

Itulah rahsia pembahagian dan pecahan yang banyak yang disebut oleh al-Quran yang membayangkan kehebatan alam ciptaan Allah SWT. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Demi angin yang menerbangkan dan menaburkan (debu, biji-bijian benih dan lain-lainnya), dengan penerbangan dan penaburan yang sesungguhnya; Dan awan yang membawa dan mengangkut muatannya (ke tempat yang dikehendaki); Dan kapal-kapal yang belayar laju dengan kemudahan yang diberikan kepadanya; Dan malaikat-malaikat yang membahagi-bahagikan segala perkara yang mereka ditugaskan membahagikannya; (Sumpah demi sumpah) bahawa sesungguhnya segala yang dijanjikan kepada kamu (mengenai hari akhirat) tetap benar.” (Surah az-Zaariyaat, ayat 1-5) 


Manusia diberi kelebihan, kenikmatan 

Manusia adalah makhluk mulia yang diberi kelebihan dan kenikmatan. Adalah menjadi hak Allah SWT untuk mencela manusia yang tidak menghargai nikmat kurniaan-Nya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang ada di langit dan yang ada di bumi dan telah melimpahkan kepada kami nikmat-nikmat-Nya yang zahir dan yang batin? Dalam pada itu, ada di antara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan atau sebarang petunjuk dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab Allah yang menerangi kebenaran.” (Surah Luqman, ayat 20) 

Ini adalah antara sudut kurniaan Allah SWT untuk manusia, manakala satu sudut lagi ialah dalam bentuk rohani atau spiritual iaitu manusia adalah tiupan daripada roh Allah yang Maha Tinggi. Begitulah permulaan ciptaan Adam dan begitulah juga permulaan janin dalam perut ibu. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan-Ku) maka hendaklah kamu sujud kepadanya.” (Surah al-Hijr, ayat 29) 

Al-Quran memaparkan penghinaan kepada Adam iaitu manusia pertama di sisi Allah SWT adalah satu bentuk penderhakaan terhadap-Nya. Tanpa mengira sama ada iblis berasal daripada malaikat atau jin, hasilnya tetap sama. 

Sesiapa yang enggan sujud iaitu sujud penghormatan kepada Adam, maka makhluk itu telah melakukan satu kesalahan yang besar kepada Allah SWT. Ini antara kelebihan lain manusia dan ia menggambarkan kedudukannya di sisi Tuhan iaitu penerimaan taubat seorang hamba kepada-Nya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesungguhnya Aku yang amat memberi ampun kepada orang yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian dia tetap teguh menurut petunjuk yang diberikan kepadanya.” (Surah Taha, ayat 82) 


Sifat buruk patut dijauhi 

Al-Quran juga terdapat banyak ayat yang menyebut mengenai sifat buruk yang sepatutnya dijauhi manusia antaranya mementingkan diri yang akhirnya akan melahirkan penyakit rakus, tamak, melampaui batas dan mengambil hak orang lain. 

Selain itu, mereka yang mempunyai sifat buruk juga akan menjadi sombong apabila dikurniakan kekayaan, zalim apabila ada kuasa, putus asa apabila gagal serta tewas dalam mengawal hawa nafsu. 

Tetapi istimewanya manusia ini setelah al-Quran menyatakan penyakit yang mendatangi manusia, al-Quran juga menyediakan penawarnya. 

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Surah al-‘Asr, ayat 3) 

Begitulah sebahagian pandangan al-Quran terhadap manusia mengenai keistimewaan dan kekuatan ada pada mereka. Apa yang jelas, ketundukan manusia akan membawa kepada kedudukan tertinggi manakala kekufuran dan keingkaran menempatkan mereka di tempat yang serendah-rendahnya. bharian

Bersedekah lebih baik daripada membazir

Ulama salaf menyedekahkan makanan atau hidangan lazat yang disukai mereka pada masa mereka menginginkan makanan itu kepada fakir miskin, anak yatim dan tawanan dengan alasan golongan berkenaan tidak memperoleh makanan seperti itu. 

Pernah Al-Rabi’ bin Khutsaim teringin makan sejenis kuih lalu tukang masak menyediakannya. Kemudian Al-Rabi’ memanggil golongan fakir miskin dan memberikan kuih berkenaan kepada mereka. 

Isterinya bertanya: “Kami telah berpenat lelah membuatnya sedang anda tidak turut memakannya. Jawab Al-Rabi’: Siapakah yang memakannya, adakah orang lain? Maksudnya, beliau memperoleh manfaat ganjaran walaupun makanan itu dimakan orang lain. 


Ada kalangan salaf yang disediakan makanan untuk mereka dengan susah payah oleh ahli keluarga kemudian disedekahkan kepada fakir miskin. Apabila ditanya perkara itu, jawapan diberikan, jika mereka memakannya akhirnya akan ke tandas, tetapi jika orang lain diberi makan, makanan itu terpelihara di sisi Allah SWT.


Berlumba-lumba beri sedekah

Generasi awal itu berlumba-lumba bersaing bersedekah makanan mereka untuk mendapat ganjaran tinggi di sisi Allah SWT. Malangnya, akhir-akhir ini, ramai antara kita membuang lebihan makanan kerana melebihi keperluan mereka.
Semasa menyediakan makanan untuk majlis atau kenduri, ada yang membuat secara berlebihan dan lebih menyedihkan, mereka tidak berkeinginan untuk mengagihkan lebihan makanan kepada golongan yang memerlukan.

Jika kita dapat mentadbir baik urusan dan perbelanjaan, kita berupaya mengelak berlakunya pembaziran dan pada masa sama, makanan yang disedekahkan membolehkan kita beroleh pahala serta mengeratkan hubungan silaturahim.

Sesungguhnya kita sudah diingatkan supaya mengelak pembaziran kerana sikap suka membazir adalah amalan syaitan tetapi malangnya perbuatan yang ditegah itu pula yang kerap kita lakukan. 

Daripada Amru bin Auf, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (daripada pemberiannya).” (Riwayat Bukhari) - bharian

Jumaat, 11 Oktober 2013

Usah terpengaruh adat, budaya bertentangan Islam

Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia), tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dulu masuk syurga, pada hal mereka diberi kitab lebih dulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Esok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani.” (Riwayat al-Bukhari) 

Islam menyerlahkan perbezaan yang begitu ketara dengan agama lain supaya umatnya tidak terkeliru seperti membezakan arah kiblat, kitab suci, hari raya, hari kebesaran dan sebagainya. 


Hari Jumaat penghulu hari 


Islam menetapkan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari. Ini berbeza dengan Yahudi yang membesarkan hari Sabtu dan Kristian yang membesarkan hari Ahad. 

Perbezaan yang ditetapkan oleh Islam ini hendaklah diamalkan dan dihayati secara praktikal oleh umat Islam kerana dengan cara ini akan menyerlahkan lagi jati diri setiap Muslim serta menjauhkan mereka daripada terpengaruh dengan adat dan budaya yang cuba dibawa masuk oleh musuh Islam. 

Kegagalan umat Islam mempromosikan Islam terhadap masyarakat bukan Islam akan mengakibatkan umat Islam dipandang hina dan Islam dipandang sepi. Umat Islam hendaklah berhati-hati supaya tidak terikut adat dan budaya bukan Islam sehingga membawa kepada rosaknya aqidah serta terpadamnya garisan yang telah ditetapkan oleh syarak - sumber

Rabu, 2 Oktober 2013

Sedekah kepada ahli keluarga dapat dua pahala

Zainab as-Saqafiyyah, isteri Abdullah bin Mas’ud berkata, “Pada suatu hari Rasulullah SAW bersabda: Wahai kaum wanita! Puan-puan berilah sedekah dengan memberikan perhiasan puan-puan. Kemudian Zainab menceritakan: Saya pun terus pulang ke rumah. Apabila tiba di rumah, saya berkata kepada suami saya: Kanda seorang yang miskin, tetapi Rasulullah memerintahkan kita supaya memberi sedekah. Justeru, kanda pergilah menemui Rasulullah dan tanya kepada Baginda, bolehkan saya memberikan sedekah itu kepada kanda dan ahli keluarga kita saja. Jika tidak boleh, saya akan berikan sedekah itu kepada orang lain. Abdullah pun berkata: Dinda sajalah yang pergi menemui Rasulullah.

Selepas itu, Zainab pergi ke rumah Rasulullah. Tiba di sana, dia melihat seorang wanita Ansar berada di depan pintu Rasulullah dengan hajat yang sama. Bagaimanapun, mereka malu hendak berjumpa Rasulullah. Tiba-tiba Bilal keluar menemui kami berdua dan kami berkata kepada Bilal: Beritahu kepada Rasulullah ada dua wanita sedang menunggu di hadapan pintu hendak bertanyakan soalan adakah memadai jika sedekah itu diberikan kepada suami dan anak yatim yang di bawah tanggungannya. Tetapi jangan beritahu kami yang bertanyakan soalan itu. 
Dua pahala jika sedekah kepada ahli keluarga 

Adalah lebih baik jika sedekah itu diberikan kepada kerabat terdekat kerana sekurang-kurangnya kita dapat meringankan beban mereka. Pada masa sama, mengeratkan hubungan persaudaraan kerana jika sebaliknya, pasti timbul fitnah pula.

Kemudian Bilal masuk menemui Rasulullah dan bertanyakan soalan kedua-dua wanita itu. Rasulullah bertanya: Siapakah kedua-dua orang itu. Bilal menjawab: Seorang wanita daripada kaum Ansar dan seorang lagi Zainab. Rasulullah bertanya lagi: Zainab yang mana. Nama Zainab ramai. Bilal menjawab: Zainab isteri Abdullah.

Rasulullah menjelaskan: Kedua-dua wanita itu mendapat dua pahala jika mereka memberikan sedekah kepada ahli keluarga mereka yang memerlukan itu. Pertama, pahala kerana menghubungkan tali persaudaraan. Kedua, pahala memberi sedekah.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Ada kala kita sibuk membantu orang lain yang tiada pertalian dengan kita kerana kasihan melihat kesusahan dilalui mereka hingga terlupa dalam kalangan ahli keluarga atau saudara mara kita sebenarnya lebih memerlukan.

Adalah lebih baik jika sedekah itu diberikan kepada kerabat terdekat kerana sekurang-kurangnya kita dapat meringankan beban mereka. Pada masa sama, mengeratkan hubungan persaudaraan kerana jika sebaliknya, pasti timbul fitnah pula. 
Pastinya kita tidak mahu orang mempersoalkan tindakan kita menghulurkan sumbangan kepada pihak lain tetapi adik beradik atau saudara kita hidup dalam kesusahan. Islam peka terhadap semua perkara termasuk dalam isu menyentuh sedekah kepada ahli keluarga terdekat - sumber