ISLAM tidak menghalang umatnya menjadi kaya, tetapi jangan sampai melupakan segala peringatan
Allah SWT. - Gambar hiasan
Jawapan:
Harta ataupun dipanggil dengan kalimah mal atau amwal dalam Bahasa Arab merupakan sesuatu yang diperlukan oleh umat manusia. Sejak zaman dahulu kala sehinggalah ke hari ini, harta menjadi alat untuk menyempurnakan kehidupan manusia. Dengan harta, manusia mampu merealisasikan kebanyakan impiannya. Harta ibarat kunci yang mampu membuka jendela dan membolehkan manusia menikmati pelbagai keindahan dunia yang sebelum itu hanya mampu dinikmati dalam mimpi sahaja.
Di dalam al-Quran Allah SWT menukilkan kalimah harta pada 160 ayat. Ia menunjukkan, isu harta bukanlah sesuatu yang ringan dan boleh diambil mudah. Harta mampu menjebak pemiliknya kepada kederhakaan kepada Allah SWT lalu akhirnya menyebabkan mereka masuk ke dalam neraka Allah, wal'iyazubillah. Contohnya: Qarun yang dilaknati-Nya.
Namun, pada masa sama jika harta dapat diuruskan dengan sempurna dan baik menurut garis panduan yang telah disediakan oleh Allah SWT, maka pastilah ganjarannya juga adalah pahala yang berpanjangan dan pasti jugalah di akhirat nanti, pemiliknya akan diberikan kedudukan yang mulia di syurga Allah SWT yang penuh dengan pelbagai kenikmatan, insya-Allah. Contohnya: Abu Bakar as-Siddiq yang dikasihi Allah.
Oleh itu, apakah makna harta di sisi Islam? Ya, jika merujuk kepada makna mal atau amwal secara bahasa, ia bermakna 'apa-apa yang dimiliki daripada segala sesuatu.' Namun, semudah itu sahajakah? Mari, kita harus cuba melihat perspektif harta pada sudut pandang fuqaha Islam khususnya imam mazhab dalam jalur ahlus sunnah wal jamaah mengenai harta.
Jalur Hanafiyah merumuskan, harta itu adalah sesuatu yang menjadikan manusia cenderung kepadanya secara semula jadi, yakni kemahuan itu wujud tanpa perlu dipaksa-paksa dan harta itu mampu disimpan, dikawal dan dimanfaatkan kembali sama ada ketika mereka berada dalam keperluan atau tanpa keperluan.
Manakala, di jalur Shafiiyah pula harta diistilahkan sebagai sesuatu yang bernilai dan mesti dibayar ganti rugi jika berlaku kerosakan ke atasnya. Jalur Malikiyah pula menyatakan, mal hanya dianggap harta bagi yang boleh dimanfaatkan oleh pemiliknya sahaja jika ia diperoleh dengan kaedah yang betul di sisi syarak.
Tetapi, jangan kita pusingkan kepala dengan pelbagai definisi ini. Apa yang penting, fuqaha menyatakan harta itu mestilah diperoleh dengan cara yang betul dan dapat dimanfaatkan kembali oleh pemiliknya pada bila-bila masa, sama ada ketika dalam keadaan biasa ataupun terdesak dan jika ditakdirkan berlaku kerosakan atas harta itu bagi orang lain, wajarlah kita membayar ganti rugi ke atasnya.
Hak at-tasaruf
Maka, sebab itulah dalam perbahasan fiqh zakat, hak at-tasaruf adalah satu aspek yang sangat penting, kerana harta yang dikatakan sempurna milik itu, mestilah ia mempunyai hak at-tasaruf ke atasnya. Jika seseorang itu mendakwa dia memiliki harta yang sempurna milik tetapi dalam masa yang sama dia tidak boleh menjalankan sebarang transaksi ke atasnya, malah terikat pula dengan pelbagai halangan, maka ia bukanlah harta yang sempurna milik dan tidaklah harta itu tertakluk sebagai harta yang wajib zakat.
Contoh mudah yang sering diberikan, seorang wanita yang bergaya dengan pelbagai perhiasan emas yang mengerlip di seluruh badannya padahal semuanya adalah emas yang dipinjam atau emas yang disewa sahaja, maka biarpun ia sudah melebihi uruf emas perhiasan berkali-kali ganda, ia masih tidak wajib dizakatkan.
Persoalan seterusnya, adakah agama Islam menolak kekayaan? Ini kerana, wujudnya segelintir pandangan manusia bahawa dunia ini adalah daki-daki yang hendaklah disingkirkan dari tubuh badan manusia. Untuk mendapatkan cinta Allah SWT dan kenikmatan akhirat yang abadi, dunia adalah belenggu yang menghalanginya. Benarkah semua yang bernama dunia bersifat demikian?
Jika benarlah bahawa dengan menolak dunia dan isinya itu mampu mendekatkan diri manusia kepada Allah SWT, maka apakah pula statusnya para nabi dan sahabat Rasulullah SAW yang terkenal kaya-raya namun pada masa sama mereka diiktiraf sebagai orang yang amat dekat dengan Allah SWT dan Rasul-Nya?
Maka, Allah SWT tidak pernah sama sekali mengajar manusia yang beriman untuk menjadi pesimis dengan kehidupan dunia. Sudah namanya dunia, di atasnya memang penuh dengan perkara-perkara yang bersifat menghiburkan dan sudah pasti ia juga diwarnai dengan pelbagai keindahan yang kadang kala bisa melalaikan. Namun, ia bukanlah bermakna manusia seluruhnya perlu mengkesampingkan dunia dan hidup dalam kesempitan yang disengajakan. (rujuk (al-An'am: 32) - utusan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan