KARIPAP PUSING

Khamis, 28 November 2013

VIDEO Khas Buat Hero Yang Tersayang Kerana Ketabahan Mu!!!



Ahad, 24 November 2013

VIDEO: HERO…’Ikon’ Kucing Yang Dizalimi Ditemui Mati Akibat Leukemia

SEEKOR kucing yang pernah popular di laman YouTube kerana ‘keunikannya’  selepas kudung akibat dipotong dengan kejam kerana mencuri ikan di sebuah pasar,  ditemui mati hari ini.
Untuk rekod, Hero atau Abam Iyo, telah diselamatkan penjaganya sekarang, Papa Hero sewaktu kakinya dikerat oleh seorang individu yang tidak bertanggungjawab beberapa tahun lalu.
Namun baru-baru ini, kucing itu disahkan menghidap Leukemia, menurut entri blog Beautifulnara hari ini.
Kisah Hero akan kekal dalam ingatan bagi para pencinta haiwan kerana kucing itu dilabel sebagai ‘ikon’ bagi menentang kezaliman dan kekejaman terhadap haiwan.
Anda boleh mengunjungi laman Facebook Kakimotong Fan Club untuk kemas kini berkaitan kucing unik bernama Hero ini. – mynewshub

Khamis, 21 November 2013

Sejarah Ayat Kursi

AYAT KURSI

Ayat Kursi

Ayat ini diturunkan setelah hijrah. Semasa penurunannya ia telah diiringi oleh beribu-ribu malaikat kerana kehebatan dan kemuliaannya. Syaitan dan iblis juga menjadi gempar kerana adanya satu perintang dalam perjuangan mereka. Rasullah SAW dengan segera memerintahkan Zaid Bin Sabit menulis serta menyebarkannya.
Sesiapa yang membaca ayat Kursi dengan khusyuk setiap kali selepas sembahyang fardhu, setiap pagi dan petang, setiap kali keluar masuk rumah atau hendak musafir, InsyaAllah akan terpeliharalah dirinya dari godaan syaitan, kejahatan manusia, binatang buas yang akan memudaratkan dirinya bahkan keluarga, anak-anak, harta bendanya juga akan terpelihara dengan izin Allah SWT.
Mengikut keterangan dari kitab ”Asraarul Mufidah” sesiapa mengamalkan membacanya setiap hari sebanyak 18 kali maka akan dibukakan dadanya dengan berbagai hikmah, dimurahkan rezekinya, dinaikkan darjatnya dan diberikannya pengaruh sehingga semua orang akan menghormatinya serta terpelihara ia dari segala bencana dengan izin Allah. Syeikh Abu Abbas ada menerangkan, siapa yang membacanya sebanyak 50 kali lalu ditiupkannya pada air hujan kemudian diminumnya, InsyaAllah Allah akan mencerdaskan akal fikirannya serta Fadhilat Ayat Al-Kursi mengikut Hadis-Hadis Rasullullah SAW bersabda bermaksud:
“Sesiapa pulang ke rumahnya serta membaca ayat Kursi, Allah hilangkan segala kefakiran di depan matanya.”
Sabda baginda lagi;
“Umatku yang membaca ayat Kursi pada pagi Jumaat, kemudian berwuduk dan sembahyang sunat dua rakaat, Allah memeliharanya daripada kejahatan syaitan dan kejahatan pembesar.”
Orang yang selalu membaca ayat Kursi dicintai dan dipelihara Allah SWT sebagaimana Dia memelihara Nabi Muhammad SAW. Mereka yang beramal dengan bacaan ayat Kursi akan mendapat pertolongan serta perlindungan Allah SWT daripada gangguan serta hasutan syaitan. Pengamal ayat Kursi juga, dengan izin Allah SWT, akan terhindar daripada pencerobohan pencuri. Ayat Kursi menjadi benteng yang kuat menyekat pencuri daripada memasuki rumah. Mengamalkan bacaan ayat Kursi juga akan memberikan keselamatan ketika dalam perjalanannya.

Amalkan membaca ayat kursi sebelum dan semasa perjalanan

Ayat Kursi yang dibaca dengan penuh khusyuk, Insya-Allah, boleh menyebabkan syaitan dan jin terbakar. Jika anda berpindah ke rumah baru maka pada malam pertama anda menduduki rumah itu eloklah anda membaca ayat Kursi 100 kali, insya-Allah mudah-mudahan anda sekeluarga terhindar daripada gangguan lahir dan batin. Barangsiapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah mewakilkan 2 orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.
Barang siapa membaca ayat Al-Kursi di akhir setiap sembahyang Fardhu, ia akan berada dalam lindungan Allah hingga sembahyang yang lain. Barangsiapa membaca ayat Al-Kursi di akhir tiap sembahyang, tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut, dan barangsiapa membacanya ketika hendak tidur, Allah memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya & ahli rumah-rumah di sekitarnya. Barangsiapa membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap-tiap sembahyang Fardhu, Allah menganugerahkan dia hati-hati orang yang bersyukur perbuatan-perbuatan orang yang benar, pahala nabi-nabi juga Allah melimpahkan padanya rahmat. Barangsiapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya, mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.
Barangsiapa membaca ayat Al-Kursi di akhir sembahyang Allah azza wajalla akan mengendalikan pengambilan rohnya dan ia adalah seperti orang yang berperang bersama nabi Allah sehingga mati syahid. Barangsiapa yang membaca ayat al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah berkenan memberi pertolongan kepadanya - sumber

Sabtu, 9 November 2013

Umat yang dahulu bukanlah yang sekarang

JANGAN salah faham. Tajuk ini bukanlah lagu baru mahupun sebuah parodi walaupun ia mirip lirik lagu Tegar yang sedang popular di pasaran hari ini. Kenyataan ini adalah sebuah hakikat. Hakikat yang menggambarkan umat akhir zaman. Pasca Hijrah Rasul junjungan 1435H kini dalam catatan. Lipatan sejarah memugar pengiktibaran. Realiti semasa umat yang amat memeritkan. Jauhnya umat dari zaman kehebatan. Kegemilangan yang pernah suatu ketika dahulu dilakar usai penghijrahan. Namun kini hilang gahnya dari persada kemanusiaan. Apakah sebabnya mahupun alasan? Ayuh mari kita renung dan muhasabahkan.
Hilang jejak sunah
Ini adalah punca utama kelemahan. Diari Muharam 1435H juga dikhuatiri tercemar helaian putih kertasnya dengan tinta-tinta amalan umat yang jauh dari hidayah Nabi Muhammad SAW. Rata-rata menggangap Awal Muharam sesuatu yang disambut dengan amalan yang pada hakikatnya sebuah adat. Namun seolah-olah telah menjadi persis isi kepada tulang masyarakat yang akhirnya disangka itulah ibadat.
Mari kita fahami satu hakikat. Agar tasawur jelas ini dapat memberi kacamata yang terang buat umat bagi membeza antara adat mahupun syariat. Jika adat itu tiada mencalar kaedah syariat, maka ia dianggap terhukum harus buat umat. Akan tetapi jika sebuah adat itu mendahului isi syariat sehingga yang diagungkan adalah adat dan yang ditinggal itu syariat, maka adat itu ternyata memberi luka pada kehidupan beragama.
Muharam disebut sebagai salah satu dari bulan-bulan haram. Apakah maksudnya? Al-Qadhi Abu Ya'ala rahimahullah mengungkapkan dua makna baginya. Pertama, diharamkan pembunuhan berlaku pada bulan haram sehingga orang jahiliah sekalipun meyakini sedemikian. Kedua, pada bulan-bulan haram ini larangan untuk melakukan perbuatan haram lebih ditekankan kerana kemuliaan bulan tersebut. Demikian juga pada saat itu amatlah digalakkan untuk melakukan kebaikan.
Ibnu Abbas r.a juga pernah mengutarakan hal yang sama dengan mengatakan bahawasanya Allah Taala mengkhususkan empat bulan (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab) sebagai bulan haram yang dianggap suci. Melakukan maksiat pasti mengundang dosa yang lebih besar manakala pahala yang dilakukan pula pasti akan menuai pahala yang lebih besar (Lihat Lathaif Maarif, Ibn Rajab al-Hanbali)
Justeru, apakah ibadat yang seharusnya melekat di ingatan umat tatkala tibanya Muharam? Perhatikan rentetan sabda mulia Baginda Rasul SAW yang telah terluput amalannya dari umat. Rasulullah SAW bersabda : "Puasa yang paling utama selepas puasa Ramadan adalah puasa pada bulan Allah (syahrullah) iaitu Muharam. Sementara solat yang paling utama pula selepas solat fardu adalah solat malam." (Muslim, 2812)
Begitu juga sabda Nabi SAW dari Ibnu Abbas r.a : "Bahawasanya Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam) dan memerintahkan untuk berpuasa padanya. (Muttafaqun Alaih)
Sabda Nabi SAW yang lain pula antaranya Dari Abi Qatadah r.a : "Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari Asyura Nabi SAW menjawab : "Puasa itu menghapuskan dosa setahun yang lalu (Muslim)
Nabi SAW bersabda lagi tentang keutamaan dan harapan Baginda SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a : "Jika sampai usiaku (Nabi SAW) sampai tahun hadapan, maka pasti aku akan berpuasa juga pada hari kesembilan." (Muslim)
Inilah permulaan tahun hijrah yang penuh barakah. Inilah yang sewajarnya dilakukan oleh umat yang mengaku cinta kepada Rasul SAW yang membawa kesempurnaan sebuah syariat. Malangnya, masyarakat lebih tertumpu kepada menyediakan hidangan tertentu pada 10 Muharam sehingga lupa untuk berpuasa pada hari tersebut apatah lagi hari sebelumnya iaitu hari kesembilan Muharam. Tiada salahnya untuk menyelia mahupun menyedia apa jua hidangan sekalipun selagi mana konteksnya umum dan diharuskan. Namun yang salah dan silapnya adalah penyediaan hidangan itu diutamakan walhal sunah yang agung ditinggalkan.
Masyarakat tidak harus hilang jejaknya dari sunah. Hilang jejak menandakan kita jauh dari landasan syariat. Jika awal tahun lagi kita sudah bermula dengan hilang panduan dan arah, bagaimana pula nasib sepanjang tahun dan seterusnya? Moga-moga Allah Taala membantu kita dan memberi hidayah kepada kita semua menuju kebenaran dan ketaatan yang sahih dan bertepatan.
Mencari jalan pulang menuju gemilang
Sempena kehangatan Hijrah 1435 ini marilah kita mengusahakan kembali untuk menyemai benih kegemilangan buat umat. Rawatan terawal sebagaimana pernah disarankan oleh Syaikh Nasiruddin al-Albani adalah dengan dua proses utama. Pertama dengan melakukan al-Tasfiyyah iaitu menjernihkan ummah dengan ilmu yang tepat dan sahih dan kedua dengan proses al-Tarbiyyah (pendidikan dan pengasuhan) berasaskan ilmu yang sahih itu tadi. Justeru untuk melaksanakan semua ini kita sangat perlu kepada kesungguhan, keseriusan, perencanaan dan perlaksanaan. Segalanya mungkin dengan pertolongan Allah Taala yang boleh dianggap sebagai motivasi utama dalam melakukan pemulihan umat menuju kegemilangan. Firman Allah Taala dalam surah Al-Hajj ayat 40 : "Sesungguhnya Allah pasti akan menolong orang-orang yang menolongNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa." Syaikh Muhammad Amin al-Syanqiti mengulas dalam tafsirnya, bahawasanya dalam ayat yang mulia ini Allah Taala bersumpah akan sungguh-sungguh menolong hamba-Nya yang menolong-Nya dan diketahui akan makna menolong Allah itu adalah dengan mengikuti segala syariat-Nya dengan melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya.
Mengambil sedikit suntikan dari peristiwa hijrah. Lihatlah, bagaimana kedudukan sebuah umat yang ditindas di kota Mekah, dihalau keluar tanpa sekeping harta dan dihina seolah-olah mereka bukan manusia akhirnya menemui kekuatan setelah berhijrah. Kekuatan kendiri yang telah dibina dalam jiwa Bilal bin Rabah r.a, kekuatan ekonomi dan perdagangan yang dipelopori oleh Abdul Rahman bin Auf r.a dengan menguasai perolehan sumber dan kedudukan pasaran dan lain-lain kekuatan yang semakin hari semakin utuh, segagah iman yang tertancap kemas di hati mereka.
Ubat bagi umat hari ini seterusnya tersimpan dalam surah al-Nur ayat 55 : "Bahawasanya Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di atas muka bumi sebagaimana pernah dijadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa. Dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredainya untuk mereka dan benar-benar mengubah keadaan mereka menjadi aman sentosa setelah berada dalam keadaan ketakutan. Mereka sentiasa menyembah-Ku semata-mata dan tidak menyekutukan-Ku dengan sesuatu apa pun. Barang siapa yang tetap (kufur) sesudah janji itu maka mereka itulah orang-orang yang fasik."
Ayuh umat bangkit segera dari lena dan malasmu. Penuhi jiwamu dengan takwa. Jangan lagi beralasan seribu kata. Benih kecemerlangan harus disemai semula. Bumi ini belum lagi ketandusan tanah untuk mendaulatkan agama Allah. Hijrahlah dengan akhlakmu, dirimu, sikapmu menuju kepada menjadi nadi umat yang baru. Manusia yang tercipta dengan kesempurnaan akal dan jiwa yang diasuh dengan keutuhan al-Quran dan sunah pasti akan melakar sesuatu yang luar biasa. Mulakan hari ini saat anda membaca coretan ini. Jangan tangguh walau sedetik lagi. Kita semua adalah harapan untuk menyambung sebuah tarikh kegemilangan. Ia pasti akan berulang kembali.
- Penulis adalah Eksekutif Kanan Unit Dakwah & Pemasaran Khas PPZ-MAIWP.- utusan