KARIPAP PUSING

Sabtu, 9 November 2013

Umat yang dahulu bukanlah yang sekarang

JANGAN salah faham. Tajuk ini bukanlah lagu baru mahupun sebuah parodi walaupun ia mirip lirik lagu Tegar yang sedang popular di pasaran hari ini. Kenyataan ini adalah sebuah hakikat. Hakikat yang menggambarkan umat akhir zaman. Pasca Hijrah Rasul junjungan 1435H kini dalam catatan. Lipatan sejarah memugar pengiktibaran. Realiti semasa umat yang amat memeritkan. Jauhnya umat dari zaman kehebatan. Kegemilangan yang pernah suatu ketika dahulu dilakar usai penghijrahan. Namun kini hilang gahnya dari persada kemanusiaan. Apakah sebabnya mahupun alasan? Ayuh mari kita renung dan muhasabahkan.
Hilang jejak sunah
Ini adalah punca utama kelemahan. Diari Muharam 1435H juga dikhuatiri tercemar helaian putih kertasnya dengan tinta-tinta amalan umat yang jauh dari hidayah Nabi Muhammad SAW. Rata-rata menggangap Awal Muharam sesuatu yang disambut dengan amalan yang pada hakikatnya sebuah adat. Namun seolah-olah telah menjadi persis isi kepada tulang masyarakat yang akhirnya disangka itulah ibadat.
Mari kita fahami satu hakikat. Agar tasawur jelas ini dapat memberi kacamata yang terang buat umat bagi membeza antara adat mahupun syariat. Jika adat itu tiada mencalar kaedah syariat, maka ia dianggap terhukum harus buat umat. Akan tetapi jika sebuah adat itu mendahului isi syariat sehingga yang diagungkan adalah adat dan yang ditinggal itu syariat, maka adat itu ternyata memberi luka pada kehidupan beragama.
Muharam disebut sebagai salah satu dari bulan-bulan haram. Apakah maksudnya? Al-Qadhi Abu Ya'ala rahimahullah mengungkapkan dua makna baginya. Pertama, diharamkan pembunuhan berlaku pada bulan haram sehingga orang jahiliah sekalipun meyakini sedemikian. Kedua, pada bulan-bulan haram ini larangan untuk melakukan perbuatan haram lebih ditekankan kerana kemuliaan bulan tersebut. Demikian juga pada saat itu amatlah digalakkan untuk melakukan kebaikan.
Ibnu Abbas r.a juga pernah mengutarakan hal yang sama dengan mengatakan bahawasanya Allah Taala mengkhususkan empat bulan (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab) sebagai bulan haram yang dianggap suci. Melakukan maksiat pasti mengundang dosa yang lebih besar manakala pahala yang dilakukan pula pasti akan menuai pahala yang lebih besar (Lihat Lathaif Maarif, Ibn Rajab al-Hanbali)
Justeru, apakah ibadat yang seharusnya melekat di ingatan umat tatkala tibanya Muharam? Perhatikan rentetan sabda mulia Baginda Rasul SAW yang telah terluput amalannya dari umat. Rasulullah SAW bersabda : "Puasa yang paling utama selepas puasa Ramadan adalah puasa pada bulan Allah (syahrullah) iaitu Muharam. Sementara solat yang paling utama pula selepas solat fardu adalah solat malam." (Muslim, 2812)
Begitu juga sabda Nabi SAW dari Ibnu Abbas r.a : "Bahawasanya Rasulullah SAW berpuasa pada hari Asyura (10 Muharam) dan memerintahkan untuk berpuasa padanya. (Muttafaqun Alaih)
Sabda Nabi SAW yang lain pula antaranya Dari Abi Qatadah r.a : "Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari Asyura Nabi SAW menjawab : "Puasa itu menghapuskan dosa setahun yang lalu (Muslim)
Nabi SAW bersabda lagi tentang keutamaan dan harapan Baginda SAW sebagaimana diriwayatkan oleh Ibn Abbas r.a : "Jika sampai usiaku (Nabi SAW) sampai tahun hadapan, maka pasti aku akan berpuasa juga pada hari kesembilan." (Muslim)
Inilah permulaan tahun hijrah yang penuh barakah. Inilah yang sewajarnya dilakukan oleh umat yang mengaku cinta kepada Rasul SAW yang membawa kesempurnaan sebuah syariat. Malangnya, masyarakat lebih tertumpu kepada menyediakan hidangan tertentu pada 10 Muharam sehingga lupa untuk berpuasa pada hari tersebut apatah lagi hari sebelumnya iaitu hari kesembilan Muharam. Tiada salahnya untuk menyelia mahupun menyedia apa jua hidangan sekalipun selagi mana konteksnya umum dan diharuskan. Namun yang salah dan silapnya adalah penyediaan hidangan itu diutamakan walhal sunah yang agung ditinggalkan.
Masyarakat tidak harus hilang jejaknya dari sunah. Hilang jejak menandakan kita jauh dari landasan syariat. Jika awal tahun lagi kita sudah bermula dengan hilang panduan dan arah, bagaimana pula nasib sepanjang tahun dan seterusnya? Moga-moga Allah Taala membantu kita dan memberi hidayah kepada kita semua menuju kebenaran dan ketaatan yang sahih dan bertepatan.
Mencari jalan pulang menuju gemilang
Sempena kehangatan Hijrah 1435 ini marilah kita mengusahakan kembali untuk menyemai benih kegemilangan buat umat. Rawatan terawal sebagaimana pernah disarankan oleh Syaikh Nasiruddin al-Albani adalah dengan dua proses utama. Pertama dengan melakukan al-Tasfiyyah iaitu menjernihkan ummah dengan ilmu yang tepat dan sahih dan kedua dengan proses al-Tarbiyyah (pendidikan dan pengasuhan) berasaskan ilmu yang sahih itu tadi. Justeru untuk melaksanakan semua ini kita sangat perlu kepada kesungguhan, keseriusan, perencanaan dan perlaksanaan. Segalanya mungkin dengan pertolongan Allah Taala yang boleh dianggap sebagai motivasi utama dalam melakukan pemulihan umat menuju kegemilangan. Firman Allah Taala dalam surah Al-Hajj ayat 40 : "Sesungguhnya Allah pasti akan menolong orang-orang yang menolongNya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa." Syaikh Muhammad Amin al-Syanqiti mengulas dalam tafsirnya, bahawasanya dalam ayat yang mulia ini Allah Taala bersumpah akan sungguh-sungguh menolong hamba-Nya yang menolong-Nya dan diketahui akan makna menolong Allah itu adalah dengan mengikuti segala syariat-Nya dengan melaksanakan perintah-Nya dan menjauhi semua larangan-Nya.
Mengambil sedikit suntikan dari peristiwa hijrah. Lihatlah, bagaimana kedudukan sebuah umat yang ditindas di kota Mekah, dihalau keluar tanpa sekeping harta dan dihina seolah-olah mereka bukan manusia akhirnya menemui kekuatan setelah berhijrah. Kekuatan kendiri yang telah dibina dalam jiwa Bilal bin Rabah r.a, kekuatan ekonomi dan perdagangan yang dipelopori oleh Abdul Rahman bin Auf r.a dengan menguasai perolehan sumber dan kedudukan pasaran dan lain-lain kekuatan yang semakin hari semakin utuh, segagah iman yang tertancap kemas di hati mereka.
Ubat bagi umat hari ini seterusnya tersimpan dalam surah al-Nur ayat 55 : "Bahawasanya Allah telah berjanji kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh bahawa Dia sungguh-sungguh akan menjadikan mereka berkuasa di atas muka bumi sebagaimana pernah dijadikan orang-orang sebelum mereka berkuasa. Dan sesungguhnya Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah diredainya untuk mereka dan benar-benar mengubah keadaan mereka menjadi aman sentosa setelah berada dalam keadaan ketakutan. Mereka sentiasa menyembah-Ku semata-mata dan tidak menyekutukan-Ku dengan sesuatu apa pun. Barang siapa yang tetap (kufur) sesudah janji itu maka mereka itulah orang-orang yang fasik."
Ayuh umat bangkit segera dari lena dan malasmu. Penuhi jiwamu dengan takwa. Jangan lagi beralasan seribu kata. Benih kecemerlangan harus disemai semula. Bumi ini belum lagi ketandusan tanah untuk mendaulatkan agama Allah. Hijrahlah dengan akhlakmu, dirimu, sikapmu menuju kepada menjadi nadi umat yang baru. Manusia yang tercipta dengan kesempurnaan akal dan jiwa yang diasuh dengan keutuhan al-Quran dan sunah pasti akan melakar sesuatu yang luar biasa. Mulakan hari ini saat anda membaca coretan ini. Jangan tangguh walau sedetik lagi. Kita semua adalah harapan untuk menyambung sebuah tarikh kegemilangan. Ia pasti akan berulang kembali.
- Penulis adalah Eksekutif Kanan Unit Dakwah & Pemasaran Khas PPZ-MAIWP.- utusan

Tiada ulasan:

Catat Ulasan