KARIPAP PUSING

Jumaat, 31 Mei 2013

Islam menolak kekayaan?

ISLAM tidak menghalang umatnya menjadi kaya, tetapi jangan sampai melupakan segala peringatan 
Allah SWT. - Gambar hiasan

Jawapan:
Harta ataupun dipanggil dengan kalimah mal atau amwal dalam Bahasa Arab merupakan sesuatu yang diperlukan oleh umat manusia. Sejak zaman dahulu kala sehinggalah ke hari ini, harta menjadi alat untuk menyempurnakan kehidupan manusia. Dengan harta, manusia mampu merealisasikan kebanyakan impiannya. Harta ibarat kunci yang mampu membuka jendela dan membolehkan manusia menikmati pelbagai keindahan dunia yang sebelum itu hanya mampu dinikmati dalam mimpi sahaja.
Di dalam al-Quran Allah SWT menukilkan kalimah harta pada 160 ayat. Ia menunjukkan, isu harta bukanlah sesuatu yang ringan dan boleh diambil mudah. Harta mampu menjebak pemiliknya kepada kederhakaan kepada Allah SWT lalu akhirnya menyebabkan mereka masuk ke dalam neraka Allah, wal'iyazubillah. Contohnya: Qarun yang dilaknati-Nya.
Namun, pada masa sama jika harta dapat diuruskan dengan sempurna dan baik menurut garis panduan yang telah disediakan oleh Allah SWT, maka pastilah ganjarannya juga adalah pahala yang berpanjangan dan pasti jugalah di akhirat nanti, pemiliknya akan diberikan kedudukan yang mulia di syurga Allah SWT yang penuh dengan pelbagai kenikmatan, insya-Allah. Contohnya: Abu Bakar as-Siddiq yang dikasihi Allah.
Oleh itu, apakah makna harta di sisi Islam? Ya, jika merujuk kepada makna mal atau amwal secara bahasa, ia bermakna 'apa-apa yang dimiliki daripada segala sesuatu.' Namun, semudah itu sahajakah? Mari, kita harus cuba melihat perspektif harta pada sudut pandang fuqaha Islam khususnya imam mazhab dalam jalur ahlus sunnah wal jamaah mengenai harta.
Jalur Hanafiyah merumuskan, harta itu adalah sesuatu yang menjadikan manusia cenderung kepadanya secara semula jadi, yakni kemahuan itu wujud tanpa perlu dipaksa-paksa dan harta itu mampu disimpan, dikawal dan dimanfaatkan kembali sama ada ketika mereka berada dalam keperluan atau tanpa keperluan.
Manakala, di jalur Shafiiyah pula harta diistilahkan sebagai sesuatu yang bernilai dan mesti dibayar ganti rugi jika berlaku kerosakan ke atasnya. Jalur Malikiyah pula menyatakan, mal hanya dianggap harta bagi yang boleh dimanfaatkan oleh pemiliknya sahaja jika ia diperoleh dengan kaedah yang betul di sisi syarak.
Tetapi, jangan kita pusingkan kepala dengan pelbagai definisi ini. Apa yang penting, fuqaha menyatakan harta itu mestilah diperoleh dengan cara yang betul dan dapat dimanfaatkan kembali oleh pemiliknya pada bila-bila masa, sama ada ketika dalam keadaan biasa ataupun terdesak dan jika ditakdirkan berlaku kerosakan atas harta itu bagi orang lain, wajarlah kita membayar ganti rugi ke atasnya.
Hak at-tasaruf
Sebab itu, di dalam ilmu fiqh adanya istilah hak at-tasaruf, yakni kemampuan seseorang pemilik harta itu untuk memiliki dan memanfaatkan hartanya tanpa sebarang halangan sesiapa pun. Dia boleh menjual hartanya, menghadiahkan, menyedekahkan, mewakafkan, malah jika dia mahu merosakkan hartanya sendiri pun, dia tidak akan dikenakan sebarang caj ganti rugi oleh sesiapa, kerana ia memang hak miliknya sendiri.
Maka, sebab itulah dalam perbahasan fiqh zakat, hak at-tasaruf adalah satu aspek yang sangat penting, kerana harta yang dikatakan sempurna milik itu, mestilah ia mempunyai hak at-tasaruf ke atasnya. Jika seseorang itu mendakwa dia memiliki harta yang sempurna milik tetapi dalam masa yang sama dia tidak boleh menjalankan sebarang transaksi ke atasnya, malah terikat pula dengan pelbagai halangan, maka ia bukanlah harta yang sempurna milik dan tidaklah harta itu tertakluk sebagai harta yang wajib zakat.
Contoh mudah yang sering diberikan, seorang wanita yang bergaya dengan pelbagai perhiasan emas yang mengerlip di seluruh badannya padahal semuanya adalah emas yang dipinjam atau emas yang disewa sahaja, maka biarpun ia sudah melebihi uruf emas perhiasan berkali-kali ganda, ia masih tidak wajib dizakatkan.
Persoalan seterusnya, adakah agama Islam menolak kekayaan? Ini kerana, wujudnya segelintir pandangan manusia bahawa dunia ini adalah daki-daki yang hendaklah disingkirkan dari tubuh badan manusia. Untuk mendapatkan cinta Allah SWT dan kenikmatan akhirat yang abadi, dunia adalah belenggu yang menghalanginya. Benarkah semua yang bernama dunia bersifat demikian?
Jika benarlah bahawa dengan menolak dunia dan isinya itu mampu mendekatkan diri manusia kepada Allah SWT, maka apakah pula statusnya para nabi dan sahabat Rasulullah SAW yang terkenal kaya-raya namun pada masa sama mereka diiktiraf sebagai orang yang amat dekat dengan Allah SWT dan Rasul-Nya?
Maka, Allah SWT tidak pernah sama sekali mengajar manusia yang beriman untuk menjadi pesimis dengan kehidupan dunia. Sudah namanya dunia, di atasnya memang penuh dengan perkara-perkara yang bersifat menghiburkan dan sudah pasti ia juga diwarnai dengan pelbagai keindahan yang kadang kala bisa melalaikan. Namun, ia bukanlah bermakna manusia seluruhnya perlu mengkesampingkan dunia dan hidup dalam kesempitan yang disengajakan. (rujuk (al-An'am: 32) - utusan





Isnin, 20 Mei 2013

Aprikot Vitamin B17|: Sinar baru penderita kanser

BAGAIMANA B17 MEMBUNUH SEL KANSER

UMUM mengetahui kanser adalah antara penyakit kronik yang amat digeruni oleh manusia seantero dunia. Terdapat lebih daripada 100 jenis kanser dan lima yang utama antaranya ialah kanser paru-paru, perut, hati, kolorektal dan tidak ketinggalan juga kanser payudara yang kekal sebagai pembunuh utama wanita apabila terdapat 1.05 juta kes setiap tahun di seluruh dunia. Menurut WHO, potensi untuk mendapat kanser boleh dicegah sebanyak 30% jika masyarakat memberhentikan penggunaan tembakau dan alkohol, mengamalkan diet yang seimbang dan menjalani gaya hidup aktif dan sihat.
Kita sering mendengar pepatah "mencegah lebih baik daripada mengubati." Namun realitinya, seringkali berlaku di mana pesakit kanser hanya menyedari bahawa mereka menghidap kanser apabila sudah berada di tahap 4. Gejala-gejala awal kanser sering diabaikan oleh pesakit kerana menganggap simptom tersebut akan hilang dengan sendirinya. Seharusnya, mereka perlu membuat pemeriksaan awal bagi mendapatkan kepastian seperti menjalani ujian kolonoskopi, mammogram, Prostate-Specific Antigen (PSA) dan sebagainya.
BAGAIMANA VITAMIN B17 MEMBANTU?B17 boleh didapati pada 1200 jenis tumbuh-tumbuhan terutamanya biji aprikot. Nutrien terpenting dalam biji aprikot ialah Amygdalin atau Laetrile yang juga dikenali sebagai Vitamin B17. B17 bertanggungjawab memusnahkan sel asing dan mengeluarkannya melalui perkumuhan. Berdasarkan buku yang bertajuk "World without Cancer", tulisan G. Edward Griffin, biji aprikot mentah mempunyai kepekatan B17 yang tertinggi jika dibandingkan dengan biji-biji buah yang lain. Vitamin B17 mampu meningkatkan sistem imunisasi dan daya ketahanan badan serta meningkatkan tahap kecerdasan kesihatan seseorang individu. Malangnya, menurut Dr. Micheal Tait dari Australia, terdapat bukti kukuh bahawa berlaku pengurangan pengambilan vitamin B17 dalam makanan seharian kita yang merupakan penyebab utama seseorang berisiko mendapat kanser.
Vitamin B17 merupakan agen kimoterapi semulajadi. Ia terdiri daripada glukosa, sianida dan benzaldehyde. Sianida dan benzaldehyde adalah bersifat racun. Namun dalam Vitamin B17, ia terkunci rapat dan tidak membahayakan. Ikatan ini hanya boleh dipecahkan dengan kehadiran enzim Beta-Glucosidase. Enzim ini hanya boleh didapati pada sel kanser. Apabila Vitamin B17 berada dalam tubuh badan, ia akan meliputi sel-sel kanser dan seterusnya enzim ini akan menguraikan Vitamin B17 kepada elemen Sianida, Benzaldehyde dan Glukosa. Elemen Sianida dan Benzaldehyde ini akan membunuh sel kanser tersebut. Lebihan Vitamin B17 akan ditukar kepada elemen-elemen positif oleh enzim Rhodanese yang terdapat pada tubuh badan.
VITAMIN B17-KELEBIHAN KEPADA PENGAMALNYAKajian mengenai keberkesanan Vitamin B17 telah pertama kali dilakukan oleh seorang pakar Biokimia yang berdedikasi Dr. Ernest T. Krebs pada tahun 1950. Kajian susulan juga dilakukan oleh pakar kanser Jerman, Dr. Dean Burk di mana di dalam pemerhatian beliau di bawah mikroskop, Vitamin B17 telah dimasukkan ke dalam sel kanser dan mendapati sel-sel kanser tersebut mati dengan cepat sekali. Selain itu, penemuan ini turut mendapat perakuan daripada beberapa saintis perubatan yang lain. Antaranya, Dr. Hans Nieper iaitu seorang pakar kanser dari Jerman Barat. Melalui pengalaman beliau selama 20 tahun, beliau mendapati B17 sangat berkesan sebagai langkah pencegahan kanser dan beliau turut mengakui tiada vitamin lain melainkan B17 yang dapat mengawal semua jenis kanser.
Penaung kepada produk Farmas Health, Profesor Madya Dr. Syed Zainal Husin Wafa, seorang pakar perubatan berpengalaman dan bekas Ketua Jabatan Anatomi di Fakulti Perubatan UKM mengakui biji aprikot mengandungi kandungan Vitamin B17 paling tinggi berbanding dengan tumbuhan lain serta mampu meningkatkan tahap kesihatan dan seterusnya membantu dalam mengurangkan risiko mendapat penyakit-penyakit kronik metabolik. Walaubagaimanapun, beliau tidak menggalakkan pengambilan biji aprikot yang mentah kerana dikhuatiri terdedah kepada bakteria, kulat dan radikal bebas sewaktu proses penghantaran dan penyimpanan. Ini boleh menyebabkan keracunan terhadap tubuh badan. Beliau menggalakkan pengambilan biji aprikot yang telah diproses dan dikapsulkan daripada 100% biji aprikot terpilih mengikut piawaian teknologi farmaseutikal yang tinggi melalui penyelidikan klinikal dan telah mendapat kelulusan dari Biro Farmaseutikal Kebangsaan serta telah didaftarkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah.
Kelebihan Vitamin B17 telah berjaya dibuktikan oleh masyarakat Hunza di Pakistan. Mereka juga menjadikan buah dan biji aprikot sebagai diet utama mereka. Dari bijinya, dihasilkan minyak masak dan losyen muka. Inilah faktor yang menyebabkan kaum ini mempunyai purata umur sehingga 100 tahun.
Pakar Kesihatan Awam yang juga Presiden Kelab Prostar Malaysia, Dr. Ismail Lasa berkata, "Aprikot yang kaya dengan vitamin B17 dapat membantu merencatkan perkembangan sel abnormal dan sekaligus mengekalkan perkembangan sel sihat di dalam tubuh badan." Salah seorang pesakit kanser iaitu Pn Nur Akhma Nordin, 67 tahun telah disahkan menghidap kanser kulit yang kronik pada 2004. Walaupun telah menjalani rawatan konvensional, namun tiada sebarang perubahan. Pada 2005, beliau akhirnya membuat keputusan untuk mengambil aprikot vitamin B17 sebagai langkah alternatif. Selang beberapa bulan, kanser pada muka beliau bertukar kemerahan serta beransur sembuh dan kesakitannya turut hilang. - Utusan


Isnin, 15 April 2013

Rahsia rumpai laut

Dipercayai sebagai ejen penuaan untuk menambah kolagen

Rumpai laut yang dianggap 'ibu kolegen' mentah kini semakin popular dan ramai khususnya wanita mengambilnya untuk dijadikan makanan tambahan bagi menjaga kesihatan serta kecantikan.
Khazanah laut pelbagai warna seperti hijau, merah, hijau biru dan perang ini boleh dimakan secara mentah, dimasak atau dikeringkan.

Rumpai laut mengandungi kandungan mineral, asid amino dan beta karotein serta protein yang tinggi bagi membantu mengekalkan kolagen dalam kulit," Dr Muta Harah Zakaria, Pensyarah Jabatan Akuakultur Fakulti Pertanian, UPM.

Penggunaan ibu kolegen spesis Eucheuma Cottonii dan Euchuema Kappayachus atau nama tempatannya agar-agar kini dipelbagaikan fungsinya dalam bidang kecantikan dan boleh didapati daripada rumpai mentah, sabun dan pil melalui ekstrak rumpai.

Harga rumpai laut yang banyak tumbuh melatari laut di Sabah ini begitu murah dan mempunyai gred tersendiri. Dijual dengan harga serendah RM5 untuk seratus gram gred AA sehingga mencecah RM20 untuk kuantiti yang sama bagi gred AAA. Produk berasaskan rumpai laut ini juga banyak dipasarkan menerusi jualan langsung dengan pelbagai jenama.

Khasiatnya dikatakan lebih berkali ganda daripada menghirup sup ikan Yu atau sup sarang burung yang harganya lebih mahal membuatkan ramai wanita memilih tumbuhan dasar laut itu.

Menjamin kecantikan?
Persoalannya adakah rumpai laut jenis itu mengandungi kolegen untuk mampu menjadi ejen anti penuaan, menambah keserian, keanjalan dan kemulusan kulit? Adakah ia selamat digunakan? Adakah ia bebas daripada keracunan dan mendatangkan kesan jangka panjang kepada kulit dan kesihatan kepada pengamalnya?

Pensyarah Jabatan Akuakultur Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Muta Harah Zakaria, ketika diminta mengulas mengenai fenomena pengambilan rumpai laut, menegaskan makanan atau minuman daripada rumpai laut tidak membahayakan kerana ia mengandungi kandungan mineral, asid amino dan beta-karotein dan protein tinggi yang membantu mengekalkan kolagen di dalam kulit.

Katanya, bahan berkenaan digunakan secara meluas dalam pembuatan kosmetik dan digunakan banyak kepentingannya dalam bidang perubatan.

“Rumpai laut seperti Laminaria, Fucus, Sargassum dan Turbinaria sudah digunakan sejak berkurun dulu untuk mengubati beberapa penyakit seperti goiter, cirit-birit dan masalah usus kecil.

“Beberapa spesies rumpai laut dilaporkan mempunyai nilai antibiotik, antibakteria, antikulat, antitumor, vermifuj dan ubat cacing. Sesetengah spesies pula diketahui boleh merendahkan tekanan darah dan aras kolesterol plasma,” katanya dihubungi, baru-baru ini.

Pelbagai khasiat

Ditanya benarkan rumpai laut mengandungi kolegen, beliau berkata sebenarnya kolagen adalah struktur protein yang berfungsi sebagai pelekat dalam badan.

Lebih kurang satu pertiga daripada keseluruhan protein dalam badan terdiri daripada kolagen memberikan struktur kepada badan, melindungi, menyokong tisu lembut dan menyambungkannya dengan tulang badan.

“Rumpai laut mengandungi kandungan mineral, asid amino dan beta-karotein dan protein yang tinggi bagi membantu mengekalkan kolagen dalam kulit. Misalnya rumpai laut hijau Caulerpa racemosa mengandungi protein yang tinggi iaitu 11.16 peratus berbanding kubis bunga 1.8 peratus saja,” katanya.

Rumpai laut jenis merah (misalnya Kappaphycus sp) mempunyai kepentingan ekonomi kerana ia adalah sumber bahan mentah untuk pengekstrakan karagenan iaitu kandungan bahan yang ada dalam rumpai laut yang dianggap sebagai kolagen oleh orang ramai.

Secara kimia, karagenan menyerupai agar-agar tetapi mempunyai kandungan abu yang tinggi dan memerlukan kepekatan tinggi untuk membentuk gel.
Jelasnya, kandungan karagenan dalam rumpai laut yang sudah di ekstrak membantu mengekalkan keanjalan kulit dan kerana orang ramai menganggap tumbuhan itu membekalkan kolegen.

Kajian lain

Berdasarkan pencarian hasil kajian terhadap kebaikan rumpai laut jelas menunjukkan bahan berkenaan mampu bertindak secara positif dalam membantu mencantikkan kulit, antaranya:

* Laman berita CBS New York, melaporkan kajian baru mereka menjelaskan rumpai laut mungkin benar-benar berfungsi membantu masalah kesihatan dan memperbaiki kulit. Beberapa pandangan umum diambil daripada pakar yang menyarankan pengambilan rumpai laut organik dan bukan yang sudah dituai kerana dikhuatiri tidak selamat untuk dimakan.

* Kaunselor Kesihatan Holistik New York, Andre Beaman, berkata rumpai laut mengandungi vitamin dan mineral.

“Saya rasa ramai dan lebih ramai orang Amerika mula makan tumbuhan ini dan menemui khasiatnya. Rumpai jenis Nori antara yang tumbuhan laut paling popular dengan warna hijau dan hitam yang membalut sekeliling sushi,” katanya.

* Pemilik syarikat produk kecantikan rumpai laut New York, Lydia Sarfati, menerangkan kepada CBS rumpai laut mampu menyahtoksik dan mencantikkan kulit tanpa sebarang mudarat pada kulit.

* Pakar Dermatologi New York, Dr Jebra Jaliman, berkata rumpai laut yang melatari laut mempunyai vitamin yang sangat baik dan antioksidan yang mampu memerangi penyakit ekszema dan rosacea. Rumpai laut mempunyai banyak vitamin B, E dan C, selain mampu mengatasi masalah keradangan kulit.

* Pakar Bedah Ortopedik Pusat Perubatan Beth Israel, berkata barisan penyelidik berharap tumbuhan itu menjadi bahan berkesan menangani penyakit jantung dan arthritis.

“Kajian demi kajian dilakukan untuk melihat sama ada rumpai laut benar-benar memberi kesan yang boleh dibuktikan secara saintifik,” katanya.

INFO: Rumpai laut
* Industri rumpai laut dijangka berkembang apabila ia turut diperluaskan sebagai bahan tambahan dalam pelbagai produk kesihatan, farmaseutikal dan kosmetik.
* 150,000 tan metrik rumpai laut dikeluarkan dengan nilai RM1.45 bilion menjelang tahun 2020.
* Sabah pengeluar rumpai laut di Malaysia

INFO: Khasiat rumpai laut untuk kecantikan dan kesihatan

Kesihatan
• Terkenal sebagai ejen kecantikan kulit semula jadi.
• Menjadikan kulit lebih putih dan tegang.
• Melancarkan kitaran darah.
• Melicin dan menegangkan kulit dan payudara ( anti penuaan)
• Melambatkan proses penuaan dan melangsingkan badan.
• Mengekalkan kelembapan dan menganjalkan kulit.
• Menaikkan tekstur kulit dan seri wajah.
• Mengurangkan pembentukkan selulit.
• Menguatkan akar rambut dan menjadikan rambut sihat dan bersinar

Kecantikan
• Menambah baik dan meningkatkan tahap kesihatan sendi tulang.
• Meningkatkan nafsu dan daya keintiman
• Iodine yang ada di dalamnya mampu memperbaiki fungsi kelenjar thyroid sekaligus mencegah masalah Goiter iaitu kelenjar Thyroid membengkak.
• Membantu mengurangkan kolestorel dalam badan.
• Membantu dan merawat penyakit gastrik.

Keburukan
* Jangan mengambil terlalu berlebihan kerana rumpai laut mengandungi iodin yang boleh menyebabkan keracunan, sakit perut dan mampu menghakis perut. 
<<sumber>>

Khamis, 4 April 2013

keajaiban solat

Seorang doktor di Amerika Syarikat telah memeluk Islam kerana beberapa keajaiban yang ditemuinya dalam penyelidikannya. Dia amat kagum dengan penemuan tersebut, sehingga tidak dapat diterima oleh akal fikiran. Dia adalah seorang doktor neurologi. Setelah memeluk Islam, dia amat yakin akan perubatan secara Islam dan dengan itu telah membuka sebuah klinik yang bertemakan “Perubatan Melalui Al-Qur’an”. Kajian perubatan melalui Al-Qur’an membuatkan ubat-ubatannya berteraskan apa yang terdapat di dalam Al-Qur’an. Di antara kaedah-kaedah yang digunakan termasuklah berpuasa, madu lebah, biji hitam (black seed) dan sebagainya. Apabila ditanya bagaimana dia tertarik untuk memeluk Islam, maka doktor tersebut memberitahu bahawa semasa beliau melakukan kajian urat saraf, terdapat beberapa urat saraf di dalam otak manusia yang tidak masuki oleh darah. Padahal setiap inci otak manusia memerlukan darah yang cukup untuk berfungsi secara normal.

Setelah membuat kajian yang memakan masa, akhirnya beliau mendapati bahawa darah tidak akan memasuki urat saraf di dalam otak manusia melainkan pada ketika seseorang itu sedang sujud semasa mengerjakan sembahyang. Urat tersebut memerlukan darah hanya untuk beberapa sukatan yang tertentu sahaja. Ini bermaksud bahawa darah hanya akan memasuki urat tersebut mengikut kadar sembahyang waktu yang diwajibkan oleh Islam. Begitulah keagungan ciptaan Allah.

Jadi barang siapa yang tidak menunaikan sembahyang, maka otaknya tidak akan dapat menerima darah yang secukupnya untuk berfungsi secara normal.

Oleh yang demikian, kejadian manusia ini sebenarnya adalah untuk menganuti agama Islam ‘sepenuhnya’ kerana sifat fitrah kejadiannya memang telah dikaitkan oleh Allah dengan agama-Nya yang indah ini.

Kesimpulannya:
Makhluk Allah yang bergelar manusia yang tidak bersembahyang, apatah lagi yang tidak beragama Islam, walau pun akal mereka berfungsi dengan secara normal tetapi sebenarnya dalam sesuatu keadaan mereka akan kehilangan pertimbangan dalam membuat keputusan yang normal. Justeru itu, tidak hairanlah jika manusia ini kadang kala tidak segan silu untuk melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan fitrah kejadiannya, walau pun akal mereka mengetahui bahawa perkara yang akan dilakukan itu adalah bersalahan dengan kehendak mereka. Inilah adalah kesan daripada ketidakupayaan otak mereka untuk

mempertimbangkan akan perbuatan mereka itu secara lebih normal. Maka dengan itu tidak hairanlah timbulnya bermacam-macam gejala-gejala sosial masyarakat masakini. Dari itu, marilah kita bersama-sama mengambil ikhtibar daripada kisah di atas. Ambillah Islam secara menyeluruh dan bukannya secara berdikit-dikit.
<<sumber>>

Khamis, 28 Mac 2013

Darjat Kucing Di Mata Rasulullah SAW

Pengasas Imam Muda & Ustazah Pilihan merangkap Pegawai Perhubungan Awam (Kanan) JAWI
Dengan Nama-Mu Yang Esa lagi Tinggi.
Selawat dan salam ke atas Kekasih-Mu serta ahli keluarga serta sahabatnya.
Sesuatu yang dapat dinafikan bahawa setiap individu memiliki hobi dan minat yang tersendiri dalam memenuhi ruang waktu mereka. Hobi dan minat tersebut sudah pasti bertindak sebagai penenang kepada jiwa. Baik, barangkali kenyataan saya hobi dan minat sebagai penenang ini berupaya mengundang tafsiran yang bervariasi dek kerana Islam menyediakan wahana ampuh dalam proses menenang jiwa iaitu dengan membaca serta bertadabbur (menghayati) al-quran,selain mendirikan ibadah-ibadah sunat dan juga melakukan perkara-perkara kebaikan sesama manusia. Tegasnya,ini adalah suatu medium yang tidak boleh disangkal (undeniable) lagi keampuhannya.
Setiap individu perlu ingat bahawa Allah swt menciptakan setiap makhluk-Nya samada makhluk hayy (makhluk yang hidup seperti manusia, binatang dan lain-lain) dan juga makhluk jaamid (makhluk yang beku iaitu tidak bernyawa seperti batu,kayu dan sebagainya) mempunyai kelebihan dan keistimewaan yang tersendiri yang saling memerlukan antara satu sama lain.
Maka disinilah menuntut manusia yang dikurniakan aqal untuk berfikir sambil merenung kehebatan ciptaan-ciptaan Allah swt yang melata di atas muka bumi ini.
Pastinya disebalik ciptaan-ciptaan tersebut bukannya satu tugas dan kerja sia-sia di sisi Allah swt.
Ini ditegaskan menerusi firman Allah swt yang bermaksud “Dan Kami tidak menciptakan langit dan bumi dan apa yang ada di antara keduanya dengan bermain-main.” (Ad-Dukhan: 38).
Maka daripada ayat-ayat dalam Surah Ad-Dukhan tadi sungguh sangat jelas bahawa segala sesuatu yang ada di muka bumi ini dan yang ada di langit serta apa yang ada di antara keduanya tidak ada yang sia-sia. Jadinya untuk siapakah semuanya itu? Untuk memahaminya kita juga boleh merujuk kepada firman Allah swt dalam ayat yang lain pula dengan maksud :
“Dialah yang telah menjadikan bumi terhampar buat kalian dan langit sebagai atap dan Dia menurunkan air hujan dari langit, lalu Dia menghasilkan dengan hujan itu segala buah-buahan sebagai rezeki untuk kalian, kerana itu janganlah kalian mengadakan sekutu-sekutu bagi Allah padahal kalian mengetahuinya.” (Al-Baqarah: 22)
Dalam persoalan ini, adalah amat wajar kita merujuk kepada Ibnu Katsir t dalam Tafsir-nya (1/60) mengatakan: “Allah swt mengeluarkan bagi mereka (dengan air hujan tersebut) segala macam tumbuh-tumbuhan dan buah-buahan yang boleh kita saksikan sebagai rezeki buat mereka dan binatang-binatang ternak mereka sebagaimana yang telah disebutkan di banyak tempat di dalam Al Qur`an.”
Manakala pendapat yang lain turut juga dirujuk pandangan Asy-Syaikh As-Sa’di mengatakan di dalam tafsirnya (hal. 30): “Allah menciptakan segala apa yang ada di atas bumi buat kalian sebagai wujud kebaikan Allah swt bagi kalian dan rahmat-Nya agar kalian juga boleh mengambil manfaat darinya, bersenang-senang dan boleh menggali apa yang ada padanya.” Kemudian beliau mengatakan: “Dan Allah menciptakan semuanya agar manfaatnya kembali kepada kita.”
Tujuan penulis memberi tasawwur (pandangan) awal yang agak sedikit melebar daripada membincangkan langsung kepada topik kucing di sisi pandangan Rasulullah saw adalah bagi merungkai andai ada kekusutan yang berpendapat bahawa dengan membela haiwan jinak seperti kucing akan mengakibatkan banyak waktu-waktu yang sepatutnya dihabiskan itu terbuang dengan aktiviti-aktiviti yang tiada berfaedah seperti salah satunya memelihara kucing. Jadinya,adakah memelihara kucing itu membazirkan masa. Maka penulis ingin menyatakan Sabda Rasulullah Saw yang diriwayatkan dalam Sunan Abu Daud dan Sunan At-tirmidzi – Nabi s.a.w. Sabda: “Kucing itu bukan najis, ia adalah binatang yg sering berdampingan dengan manusia.”
Sebagai manusia yang memerlukan belaian manja bukan sahaja daripada manusia malah juga haiwan peliharaan jinak seperti kucing dan sebagainya sudah pasti manusia akan meletakkan nama (tasmiyah) kepada haiwan peliharaannya,jika di kalangan masyarakat Melayu biasanya dinamakan Tompok,Danny,John,dan pelbagai lagi.
Justeru,tidak kurang juga Baginda Rasulullah SAW yang menamakan kucing kesayangan peliharaan Baginda dengan Muizza. Bukti sayangnya Baginda terhadap Muizza (kucing kesayangan) ialah pernah suatu ketika Baginda Rasulullah SAW ingin mengambil jubah,tetapi berkebetulan pada waktu Muizza sedang tidur nyenyak di atas lengan jubah Baginda. Maka,dengan senang hati Baginda memotong lengan jubah baginda untuk tidak menganggu Muizza yang sedang tidur. Betapa hebatnya pekerti kekasih Allah swt ini,dengan haiwan disantuni,dengan sahabat taulan disayangi malah musuh juga dikasihi.
Sebagai makhluk ciptaan Allah swt juga,Muizza iaitu kucing baginda itu memiliki hak untuk berterima kasih kepada tuannya ketika mana Baginda Rasulullah SAW kembali ke rumah, Muizza terbangun dan seolah-olah seperti menunduk hormat kepada tuannya. Sebagai balasan, Nabi menyatakan kasih sayangnya dengan mengusap lembut ke badan kucing itu sebanyak tiga kali.
Dalam situasi yang demikian, pada ketika mana Baginda Rasulullah SAW menerima kunjungan tetamu di rumahnya, Baginda SAW selalu menggendong Muizza dan diletakkan di pahanya. Kucing juga makhluk Allah swt yang barangkali punyai cara untuk menagongkan pencipta-Nya.Salah satu sifat Muizza yang Baginda tertarik dan menggemari ialah ia selalu mengiau ketika mendengar laungan azan, dan seolah-olah suaranya terdengar seperti mengikuti lantunan suara azan.
Masyaallah, hebatnya, kucing pun sanggup berusaha untuk mengikuti laungan dan menjawab azan, apakah beratnya mulut kita selaku manusia yang dikurniakan pancaindera sebutan yang hebat fasih, sedangkan azan begitu sukar untuk dijawab,lebih malang lagi tidak dihormati.
Sehubungan dengan itu,kepada para sahabatnya, Baginda SAW sering berpesan untuk menyayangi kucing kesayangan yang layaknya menyayangi keluarga sendiri. Oleh sebab itulah,hukuman bagi mereka yang menyakiti haiwan manja ini sangatlah serius, dalam sebuah hadis sahih Al-Bukhari, dikisahkan tentang seorang wanita yang tidak pernah memberi makan kucingnya, dan tidak pula melepas kucingnya untuk mencari makan sendiri, Nabi Muhammad SAW pun menjelaskan bahawa hukuman bagi wanita ini adalah siksa neraka.Mohon dihindari dan dijauhkan oleh Allah swt.
Perkara ini Ibnu Umar ra meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Seorang wanita dimasukkan ke dalam neraka kerana seekor kucing yang dia ikat dan tidak diberikan makan bahkan tidak dibenarkan makan binatang-binatang kecil yang ada di lantai,” (HR. Bukhari).
Apalah sangat yang perlu kita gusarkan sedangkan Baginda Rasulullah SAW sendiri menekankan di beberapa hadis bahawa kucing itu tidak najis. Bahkan dibenarkan untuk berwudhu menggunakan air bekas minum kucing kerana dianggap suci.
Tegasnya,dalam kehidupan setiap insan ini selain berkomunikasi sesama manusia , dengan alam sekeliling , maka tidak ketinggalan juga makhluk ciptaan Allah swt yang turut mewarnai ekosistem alam yang menampakkan lagi kehebatan dan keagongan Allah swt.Sekian,Wallahu’alam.

<SUMBER>