Pernah Al-Rabi’ bin Khutsaim teringin makan sejenis kuih lalu tukang masak menyediakannya. Kemudian Al-Rabi’ memanggil golongan fakir miskin dan memberikan kuih berkenaan kepada mereka.
Ada kalangan salaf yang disediakan makanan untuk mereka dengan susah payah oleh ahli keluarga kemudian disedekahkan kepada fakir miskin. Apabila ditanya perkara itu, jawapan diberikan, jika mereka memakannya akhirnya akan ke tandas, tetapi jika orang lain diberi makan, makanan itu terpelihara di sisi Allah SWT.
Berlumba-lumba beri sedekah
Generasi awal itu berlumba-lumba bersaing bersedekah makanan mereka untuk mendapat ganjaran tinggi di sisi Allah SWT. Malangnya, akhir-akhir ini, ramai antara kita membuang lebihan makanan kerana melebihi keperluan mereka.
Semasa menyediakan makanan untuk majlis atau kenduri, ada yang membuat secara berlebihan dan lebih menyedihkan, mereka tidak berkeinginan untuk mengagihkan lebihan makanan kepada golongan yang memerlukan.
Jika kita dapat mentadbir baik urusan dan perbelanjaan, kita berupaya mengelak berlakunya pembaziran dan pada masa sama, makanan yang disedekahkan membolehkan kita beroleh pahala serta mengeratkan hubungan silaturahim.
Sesungguhnya kita sudah diingatkan supaya mengelak pembaziran kerana sikap suka membazir adalah amalan syaitan tetapi malangnya perbuatan yang ditegah itu pula yang kerap kita lakukan.
Daripada Amru bin Auf, katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya sedekah seseorang Islam itu memanjangkan umur dan mencegah daripada mati dalam keadaan teruk dan Allah SWT pula menghapuskan dengan sedekah itu sikap sombong, takbur dan membanggakan diri (daripada pemberiannya).” (Riwayat Bukhari) - bharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan