KARIPAP PUSING

Jumaat, 11 Oktober 2013

Usah terpengaruh adat, budaya bertentangan Islam

Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Kita (umat Muhammad) adalah yang terakhir (datang ke dunia), tetapi yang terdahulu (diadili) pada hari kiamat. Kita adalah yang paling dulu masuk syurga, pada hal mereka diberi kitab lebih dulu daripada kita sedangkan kita sesudah mereka. Kita diberikan petunjuk oleh Allah akan kebenaran yang mereka perselisihkan itu yang Allah telah tunjukkan kepada kita iaitu hari Jumaat. Maka hari ini (Jumaat) adalah untuk kita. Esok (Sabtu) untuk kaum Yahudi dan lusa (Ahad) untuk kaum Nasrani.” (Riwayat al-Bukhari) 

Islam menyerlahkan perbezaan yang begitu ketara dengan agama lain supaya umatnya tidak terkeliru seperti membezakan arah kiblat, kitab suci, hari raya, hari kebesaran dan sebagainya. 


Hari Jumaat penghulu hari 


Islam menetapkan hari Jumaat sebagai penghulu segala hari. Ini berbeza dengan Yahudi yang membesarkan hari Sabtu dan Kristian yang membesarkan hari Ahad. 

Perbezaan yang ditetapkan oleh Islam ini hendaklah diamalkan dan dihayati secara praktikal oleh umat Islam kerana dengan cara ini akan menyerlahkan lagi jati diri setiap Muslim serta menjauhkan mereka daripada terpengaruh dengan adat dan budaya yang cuba dibawa masuk oleh musuh Islam. 

Kegagalan umat Islam mempromosikan Islam terhadap masyarakat bukan Islam akan mengakibatkan umat Islam dipandang hina dan Islam dipandang sepi. Umat Islam hendaklah berhati-hati supaya tidak terikut adat dan budaya bukan Islam sehingga membawa kepada rosaknya aqidah serta terpadamnya garisan yang telah ditetapkan oleh syarak - sumber

Tiada ulasan:

Catat Ulasan