Setiap wanita harus bijak mengurus kehidupan sesuai dengan sifat malu yang tebal menghiasi peribadi mereka. Walaupun malu menjadi sebahagian daripada sifat 'wajib' wanita, ia tidak bermakna wanita tidak dapat melewati ruang khalayak jika sifat malu diurus dengan bijak.
Walau bagaimanapun, sifat malu yang sebenar bukanlah merujuk kepada rasa segan dan serba salah apabila bertemu orang lain atau apabila perlu tampil melakukan sesuatu di hadapan orang lain.
Riwayat Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Iman itu terdiri dari tujuh puluh satu sampai tujuh puluh sembilan cabang, atau enam puluh satu sampai enam puluh sembilan cabang. Yang paling utama adalah ucapan ‘Laa Ilaaha Illallah’ dan yang terendah ialah menyingkirkan duri dari jalan. Dan malu juga adalah cabang iman.” (Muttafaq alaih)
Tinggalkan perkara tercela
Malu sebenar adalah akhlak mulia yang mendorong seseorang meninggalkan perkara tercela.
Malu dalam Islam bukan semata-mata sifat wanita juga sepatutnya ada pada setiap lelaki. Sifat malu membawa kebaikan kepada manusia kerana daripadanya datang sifat mahmudah lain seperti taat perintah Allah SWT, sabar, menjauhi maksiat, pemaaf, belas kasihan, ikhlas, jujur dan amanah.
Rasulullah SAW bersabda: “Rasa malu tidak datang melainkan dengan kebaikan.” (Muttafaq alaih)
Orang yang merasa malu untuk melakukan dosa tidak semestinya orang yang selalu tersipu-sipu atau sentiasa segan silu, kerana rasa malu kepada Allah SWT tidak sama seperti rasa malu sesama manusia.
Hari ini rasa malu kepada manusia mengatasi rasa malu kepada Allah SWT. Manusia akan rosak dan binasa jika tiada rasa malu kerana aib melakukan dosa dan maksiat tidak cukup menjadi penghalang manusia daripada menjauhi larangan Allah SWT.
Wanita yang sentiasa berada dalam petunjuk agama pasti memiliki sifat menjaga kemuliaan diri. Walaupun sedang menghadapi kesulitan atau diduga dengan musibah, selain berusaha mengatasi masalah itu wanita harus sentiasa bersabar dan berlindung dengan maruah.
Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menjaga kesucian dirinya, maka Allah SWT akan menjaga kesuciannya. Siapa yang merasa cukup, maka Allah SWT akan memberikan kecukupan. Sesiapa yang berusaha untuk selalu bersabar, maka Allah SWT akan memberinya kesabaran. Dan tidak seorang pun yang diberikan sesuatu hal, yang lebih baik dan lebih luas dari kesabaran.” (Muttafaq alaih)
Mudah terperangkap bisikan syaitan
Apabila tidak sabar, disebabkan tiada rasa malu, wanita mudah terperangkap dengan bisikan syaitan yang sentiasa menggoda untuk melakukan perkara dilarang agama. Bukan sedikit wanita yang mempunyai masalah keluarga berkongsi masalah dengan orang yang tidak sepatutnya.
Ada pula yang memberi alasan mereka lebih percayakan rakan lelaki berbanding wanita, tanpa memikirkan sesuatu yang lebih buruk mungkin berlaku disebabkan kepercayaan itu. Mengikut panduan agama, orang terbaik untuk menyelesaikan masalah rumah tangga adalah yang paling dihormati dalam kalangan ahli keluarga.
Walaupun dalam keadaan yang lemah dan tiada daya, setiap wanita harus terus mempertahankan sifat malu serta menolak celaan yang mungkin timbul akibat melakukan perbuatan dilarang agama. Wanita harus ingat, lagi tebal sifat malu, lagi kuat iman mereka kepada Allah SWT.
Tetapi jika mereka mendakwa mempunyai sifat malu dan pada masa sama sangat mudah terperangkap dan diperangkap oleh syaitan durjana, sifat malu itu tidak lain hanyalah sifat malu kepada manusia semata-mata.
Ia bukan sifat malu yang menjadi sebahagian daripada cabang iman yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Iman itu terdiri dari tujuh puluh satu sampai tujuh puluh sembilan cabang, atau enam puluh satu sampai enam puluh sembilan cabang. Yang paling utama adalah ucapan ‘Laa Ilaaha Illallah’ dan yang terendah ialah menyingkirkan duri dari jalan. Dan malu juga adalah cabang iman.” (Muttafaq alaih)
Alangkah hebatnya wanita yang sifat malunya mengatasi kehendak dan keinginan sebagai manusia yang sentiasa lupa dan alpa. Malu menjadikan wanita perkasa di sisi Allah SWT, bahkan malu juga membuatkan wanita kuat menghadapi segala ujian dan dugaan dunia.
Malu yang hakiki tidak akan menjadikan wanita lemah, tetapi wanita sering kali memalukan diri sendiri dengan sikap tidak malu-bharian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan